Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lelaki ditahan pandu lori muatan 4.5 tan daun ketum

Seorang lelaki yang memandu sebuah lori dengan muatan sebanyak 4,500 kilogram daun ketum yang dianggar bernilai RM45,000 ditahan dalam sekatan jalan raya di Simpang Tiga Jerai, Kupang, dekat Baling, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata lelaki warga tempatan berumur 39 tahun itu dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar daun ketum berkenaan ke Kelantan selepas mendapatkan bekalan di Sik.

“Suspek yang memandu bersendirian ditahan di sekatan jalan raya tersebut pada pukul 1 pagi. Hasil pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan tersebut, polis menemukan 450 bungkusan plastik hitam dan ungu mengandungi daun ketum.

“Hasil siasatan, lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek mengakui menerima upah sebanyak RM800 daripada pihak lain bagi setiap perjalanan untuk menghantar daun ketum dari negeri ini ke Kelantan,” katanya dalam sidang media di Baling hari ini.

Hasanuddin berkata suspek yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi kesalahan sama pada Disember lepas, didapati memiliki kebenaran rentas negeri bagi urusan perniagaan, namun menyalahgunakannya untuk tujuan tersebut.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 selain Peraturan 4, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata polis turut menahan dua individu warganegara Thailand yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Binjul dekat Baling pada 6.45 petang semalam.

Katanya, suspek masing-masing adalah lelaki berumur 34 tahun dan wanita berumur 30 tahun yang menaiki kereta jenis Honda Accord bertindak membuat pusingan U selepas menyedari sekatan jalan raya berkenaan, namun berjaya ditahan anggota Unit Kereta Peronda yang mengejar mereka.

“Hasil pemeriksaan polis telah menemukan tiga peket lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 11.17 gram dan beberapa peket lutsinar mengandungi 40 biji pil ‘WY’ (pil kuda) yang dicampakkan suspek sewaktu melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau, dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah kecil-kecilan.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah 1952,” katanya.

- Bernama