Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PPUM mohon sumbangan Tabung Covid-19 melalui Lazada

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) meminta sumbangan untuk tabung Covid-19 melalui platform e-dagang Lazada.

Sumbangan yang dimohon hospital itu adalah antara RM50 hingga RM500.

Lazada akan menyumbangkan RM1 bagi setiap RM4 yang didermakan, sehingga mencecah RM200,000.

Kutipan sumbangan berkenaan pertama kali diumumkan PPUM pada 22 Januari lalu.

Nama hospital itu pada mulanya ditulis sebagai Universiti Malaysia, sebelum diperbetulkan sebagai Universiti Malaya setelah mendapat teguran netizen.

Netizen mempersoalkan mengapa hospital pengajar itu perlu mengumpulkan sumbangan, dengan sesetengahnya menyatakan kegagalan kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi untuk petugas barisan hadapan.

Di Twitter, ada yang mempersoalkan apakah inisiatif itu merupakan satu bentuk penipuan, manakala sesetengahnya mengatakan ia merupakan petanda buruk apabila sebuah hospital yang dibiayai dana awam memohon sendiri sumbangan orang ramai.

Untuk rekod, PPUM diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi dan bukan Kementerian Kesihatan. 

Namun hospital ini bertanggungajwab mengendalikan kes Covid-19.

Dalam Belanjawan 2021, peruntukan bagi hospital pengajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dikurangkan sebanyak RM118,000.

'Kutipan dana merupakan CSR bagi Lazada'

Ketika dihubungi, Ketua Jabatan Perhubungan Korporat PPUM, Yahaya Ahmad menjelaskan bahawa kutipan dana itu merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Lazada.

Dia juga memanjangkan kenyataan dari pengarah PPUM, Dr Nazirah Hasan yang menyatakan pihak hospital mengalu-alukan sebarang sumbangan dalam pebagai bentuk dari syarikat, NGO atau individu sebagai tanggungjawab sosial mereka.

"Menerusi inisiatif mereka, Lazada Malaysia telah menyediakan platform untuk melaksanakan program memacu sumbangan (donation drive) dan telah memilih pelbagai organisasi termasuk PPUM sebagai salah satu dari organisasi yang akan menerima sumbangan tersebut.

"Pihak PPUM amat berterima kasih dan menghargai segala sumbangan dan sokongan semua pihak," kata Dr Nazirah.

Kenyataan itu tidak menjelaskan atau menjawab kebimbangan netizen mengenai apakah PPUM pada masa ini menghadapi kekangan sumber atau kewangan sehingga perlu mengutip dana.

Yahaya pagi ini memberitahu Malaysiakini bahawa satu mesyuarat sedang berlangsung untuk membincangkan reaksi PPUM tetapi usaha seterusnya untuk mendapatkan keputusan mesyuarat tersebut gagal.