Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keputusan kes rasuah Isa Samad diketahui Rabu ini

Keputusan kes rasuah bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Kuching, Sarawak akan diketahui Rabu ini.

Menurut Bernama, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memutuskan sama ada Isa bersalah atau tidak.

Menurut senarai kausa di laman ecourtservices.kehakiman.gov.my, Nazlan dijangka memberikan penghakiman pada pukul 6.30 pagi, 3 Februari.

Pihak pembelaan selesai memberikan penghujahan lisan pada 23 Disember lalu.

Isa, 71, dihadapkan dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.