MMA mahu sistem pelaporan kes Covid-19 diperbaiki
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak segera memperbetul sistem pelaporan kes positif Covid-19.
Katanya tidak adil untuk kerajaan menyasarkan klinik dan hospital swasta apabila sistem yang ada mempunyai kelemahan. Pada masa sama katanya kemudahan kesihatan yang bekerjasama dengan pusat perubatan swasta menghadapi kekangan.
"MMA mengambil maklum amaran dikeluarkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bahawa jabatan kesihatan akan mula mengenakan denda ke atas klinik dan hospital kerajaan di negeri itu yang lewat melaporkan kes Covid-19.
"Kita berkongsi kebimbangan sama dengan penduduk Selangor seperti dinyatakan menteri besar tapi pada masa sama MMA mendapati dakwaan yang dibuat sangat merisaukan.
"Ketika kes baru meningkat, ujian makmal yang perlu diproses juga semakin bertambah.
"Nampaknya, salah satu sebab kelewatan dalam melaporkan kes yang disahkan adalah kerana kegagalan klinik dan hospital swasta memasukkan maklumat ke Sistem Maklumat Makmal Kesihatan Sistem Awam (Simka)," katanya.
Menurut Subramaniam prosedur operasi standar KKM menyatakan, tugas melaporkan kes baru Covid-19 ke Simka ialah orang yang memproses sampel yang diambil.
Katanya MMA ingin menjelaskan semua ujian RT-PCR diproses di makmal dan bukannya ujian pantas antigen yang boleh diproses di kemudahan kesihatan biasa.
Tutup sebelah mata
"Justeru bagaimana seseorang boleh mendakwa kelewatan melaporkan kes yang sah melalui Simka adalah disebabkan kegagalan pihak swasta apabila realitinya 100 peratus proses ujian RT-PCR dijalankan di makmal?" katanya.
Juster kata Subramanian, klinik dan hospital swasta wajar dimaafkan. Pun begitu dia tidak menyatakan siapa yang perlu berbuat demikian.
"Kita terlibat bersama-sama dalam semua ini. Sekiranya KKM dan Jabatan Kesihatan Selangor benar-benar percaya untuk bekerja sebagai satu pasukan dan ingin meningkatkan perkongsian awam-swasta, MMA meminta semua pihak berhenti saling menyalahkan orang lain.
"Mengikut SOP dan garis panduan KKM, klinik swasta mesti segera melaporkan setiap pesakit yang didapati positif Covid-19 ke pejabat kesihatan daerah.
"Berdasarkan Akta 342, jika kemudahan kesihatan swasta gagal melaporkan kes positif Covid-19 ke daerah pejabat kesihatan dalam masa 24 jam tindakan dapat diambil terhadap mereka.
"Jika memang ada kes yang tidak dilaporkan segera atau ditangguhkan - dengan mengambil kira keperluan mendesak mengenainya - mengapa tindakan tidak diambil terhadap kemudahan kesihatan swasta ini? Di mana penguatkuasaannya?" kata Subramaniam.
Sebelum jabatan kesihatan negeri membuat lebih banyak dakwaan ke atas perkhidmatan kesihatan swasta, katanya, MMA mahu beberapa perkara dinyatakan terlebih dulu, iaitu:
- Jumlah kes yang didapati tidak dilaporkan oleh perkhidmatan kesihatan swasta
- Apa tindakan yang diambil jabatan kesihatan negeri ke atas penyedia kemudahan kesihatan tersebut
- Bila pemakluman SOP sedia ada akan disemak semula dan diperkemas untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengamal kesihatan swasta.
"Kami percaya memang wajar untuk pengamal kesihatan swasta menuntut jawaban bagi persoalan di atas.
"Jabatan kesihatan negeri tidak boleh membuat tuduhan rambang tanpa memberikan fakta," kata Subramaniam.
Menurutnya lagi ketika ini makmal swasta juga menjalankan ujian saringan RT-PCR secara pandu masuk dan di medan ketika kaedah itu tidak diizinkan KKM.
"Menurut KKM, ujian Covid-19 oleh sektor swasta hanya boleh dilakukan di klinik perubatan swasta, pusat perawatan ambulatori, atau rumah sakit swasta.
"Makmal swasta tidak diklasifikasikan sebagai kemudahan penjagaan kesihatan, namun KKM menutup sebelah mata mengenai hal ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai