Thailand catat tiga angka kes harian
Thailand terus mencatat tiga angka bagi kes baharu harian COVID-19 selepas pihak berkuasa negara itu meningkatkan langkah pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon di mana penularan semasa pandemik tersebut bermula.
Sepanjang tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 829 jangkitan baharu COVID-19 dengan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 18,782 dengan 77 kematian.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata daripada jumlah kes baharu itu, 822 adalah jangkitan tempatan dengan 731 dikenal pasti melalui pengesanan kes aktif manakala 91 merupakan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital.
Beliau berkata beberapa kes baharu adalah kes import membabitkan lima rakyat Thailand dan dua warga asing yang memasuki negara itu serta menjalani kuarantin di pusat kuarantif alternatif negara (ASQ).
“Langkah pengesanan kes aktif di Samut Sakhon bertujuan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Pihak berkuasa kesihatan sedang mencuba yang terbaik bagi menjalankan ujian saringan ke atas seramai mungkin rakyat,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Sehingga kini, Thailand merekodkan sejumlah 18,782 kes COVID-19 termasuk 16,323 jangkitan tempatan yang menyaksikan 9,284 dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif, dan 2,459 kes import.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai