Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PAU diadakan secara maya jika PKP, darurat berterusan

Perhimpunan agung (PAU) Umno akan diteruskan secara maya jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa, kata setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan.

Jelas Ahmad, pihaknya akan menetapkan tarikh serta kaedah perhimpunan agung Umno (PAU) itu kelak.

“Mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan bila perhimpunan agung Umno bakal diadakan.

"Jika PKP dan darurat masih ada, kami akan buat juga secara maya.

"Umno akan terus mara untuk rakyat Malaysia walau sebesar mana pun cabaran. Perjuangan tetap kita teruskan," ciapnya menerusi akaun Twitter hari ini.

Sebelum ini, Umno menangguhkan perhimpunan agung tahunan mereka ke tarikh yang belum ditetapkan.

Asalnya ia dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Jan ini.

PAU kali ini dijangka lebih panas susulan hubungan parti itu dengan Bersatu terus tegang dengan sebahagian besar bahagian Umno meluluskan usul untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Usul tersebut sudah diterima di peringkat majlis tertinggi namun perlu disahkan di peringkat perhimpunan agung.

Ia berlaku ketika Umno memberi tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar pilihan raya umum diadakan.

Beberapa pemimpin kanan Umno kemudian menjelaskan tuntutan itu bukan bermakna mereka mahu PRU diadakan sekarang, sebaliknya apabila ancaman wabak Covid-19 dapat dikawal.