Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Capitol gesa pasang pagar kekal, tingkatkan keselamatan

GLOBAL | Ketua polis Capitol Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu mendesak anggota Kongres untuk menambah paagar kekal dan anggota keselamatan sokongan di bangunan Capitol, setelah rusuhan yang membawa maut pada 6 Januari lalu.

Desakan itu di saat Speaker Dewan Nancy Pelosi mengatakan anggota Kongres mungkin perlu lebih dana untuk keselamatan kerana "musuh di dalam" Dewan.

Ia selepas peringatan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berhubung ancaman yang meningkat.

Dewan Senat sedang bersiap untuk melakukan perbicaraan pendakwaan kedua terhadap bekas presiden Donald Trump atas tuduhan menghasut pemberontakan dalam ucapannya pada 6 Januari, sebelum ratusan penyokongnya menyerbu bangunan Capitol dalam usaha menghentikan perakuan kemenangan Presiden Joe Biden.

Lima orang, termasuk seorang polis, mati akibat keganasan yang tercetus.

Pemangku Ketua Polis Capitol Yogananda Pittman berkata penilaian keselamatan pada tahun 2006 secara khusus mengesyorkan pemasangan pagar perimeter kekal di Capitol.

"Saya dengan tegas mengatakan bahawa penambahan besar pada infrastruktur keselamatan fizikal mesti dibuat, termasuk pemasangan pagar kekal dan kesiapsiagaan pasukan sokongan yang berdekatan dengan Capitol," kata Pittman.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri tidak menyebut ancaman khusus dalam buletinnya yang diterbitkan Rabu lalu, tetapi mengatakan beberapa "pelampau kekerasan domestik" mungkin menjadi lebih berani setelah rusuhan awal bulan lalu.

"Kita mungkin memerlukan penambahan kakitangan keselamatan untuk anggota di saat musuh berada di dalam Dewan Perwakilan," kata Pelosi.

Nancy Pelosi

Ditanya apa yang dimaksudkan ketika menyebut "musuh dalaman", Pelosi berkata: "Ini bermaksud ada anggota Kongres yang ingin membawa senjata ke bangunan dan telah membuat ancaman keganasan terhadap anggota Kongres yang lain."

Khamis lalu, lebih daripada 30 anggota Dewan menandatangani surat bagi meminta perlindungan yang lebih besar di kawasan mereka, dan menyatakan bahawa ancaman terhadap anggota Kongres meningkat daripada 902 kali pada 2016 kepada 4,894 kali pada 2018.

Walaupun anggota tertinggi Kongres mempunyai perincian keselamatan, kebanyakan anggota lain tidak.

Sebahagian besar perubahan yang diminta, termasuk lebih ruang untuk mereka menggunakan peruntukan untuk perbelanjaan keselamatan, telah ditunaikan, kata Pelosi.

Bagaimanapun dia berkata mungkin lebih banyak yang perlu dilakukan.

Menjelang pelantikan rasmi Biden pada 20 Januari, pagar setinggi 2.4 meter dipasang mengelilingi bangunan Capitol dan lebih 20,000 anggota Pengawal Kebangsaan ditugaskan di Washington.

Ribuan daripadanya dijangka akan kekal di situ sehingga Mac.

Sebilangan anggota Kongres tidak senang dengan peningkatan langkah keselamatan, seperti alat pengesan logam yang perlu dilalui mereka.

Minggu lalu, Anggota Dewan Perwakilan dari Parti Republikan, Andy Harris ditemui membawa pistol secara tersembunyi ketika cuba memasuki bangunan itu.

-Reuters