Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

FS Channel promosi peniaga kecil di media sosial

Dua sahabat ini memuat naik video pertama di Youtube pada Ogos 2019. Ketika itu, antara tujuannya adalah untuk mempromosikan perniagaan penjaja di sekitar mereka.

Beberapa bulan kemudian, wabak Covid-19 pun melanda, disusuli dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang amat memberi kesan kepada pendapatan warga Malaysia.

Justeru, dengan tapak yang sudah tersedia, saluran Youtube FS Channel yang dikendalikan Fahmi Sani dan Ridhwan Haron digunakan lebih giat untuk membantu penjaja menambah pendapatan.

Dengan 287,000 pengikut di Youtube, 771,000 pengikut di Facebook dan 25,300 pengikut di Instagram, ternyata capaian FS Channel cukup luas.

Menceritakan permulaan mereka, Fahmi berkata pesanan orang tua-tua dan gurunya berkenaan kebaikan bersedekah sering tersemat di ingatannya.

"Dari kecil sehingga sekarang saya sering diingatkan tentang kehebatan bersedekah dan tak miskin jika kita bersedekah.

"Maka kami cuba buat kandungan yang bermanfaat bukan saja kepada peniaga tetapi juga kepada penonton yang mungkin akan cuba buat perkara sama," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kebanyakan video memaparkan Fahmi dan Ridhwan berkunjung ke gerai-gerai sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain menemu bual penjaja, mereka juga membuat ulasan tentang makanan yang dijual. Malah pada kebanyakan masa mereka membeli kesemua makanan yang masih ada.

Setiap video akan disertakan dengan alamat, nombor telefon dan lokasi Google Maps gerai yang dikunjungi.

Menurut Fahmi yang bekerja sendiri, pada permulaannya mereka mengasingkan pendapatan masing-masing secara khusus untuk digunakan dalam kandungan video FS Channel.

Selepas jumlah pengikut kian meningkat, sedikit pendapatan yang dijana daripada Youtube dan Facebook turut digunakan.

"Ia hanya cukup untuk memberi sedikit bantuan kepada peniaga yang kami kunjungi. Belum memadai untuk kami berkembang lebih jauh.

"Walaupun nilai yang kami beri sedikit, kami yakin para penonton dan penyokong kami dapat kongsi video sehingga tular dan ia akan membantu meningkatkan pelanggan gerai-gerai ini.

Mahu jelajah seluruh Malaysia

Bercerita lanjut, Fahmi berkata dia berhasrat meluaskan lagi jelajah FS Channel ke gerai-gerai di seluruh Malaysia.

"Niat kami hanya satu, iaitu beri iklan percuma kepada peniaga kecil di media sosial dengan harapan ia akan meningkatkan hasil jualan mereka.

"Kami yakin bukan pemberian one-off sahaja yang dapat membantu peniaga kecil," katanya.

Dalam pada itu, dia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mengiklankan produk dan perkhidmatan menerusi saluran mereka, agar mereka dapat menambah dana untuk meneruskan misi FS Channel.

Tentang apa yang perlu dilakukan pihak berkuasa bagi membantu peniaga kecil yang terjejas dengan Covid-19, Fahmi berkata: "Permudahkanlah urusan peniaga kecil untuk berniaga."