Indeks persepsi rasuah merosot: K'jaan perlu baiki keadaan - NGO
Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperbaiki pentadbirannya agar dapat meningkatkan pencapaian membanteras rasuah dalam negara.
Ia selepas Malaysia merosot dua mata dan menyebabkan kedudukan negara merosot enam anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020, berbanding tahun sebelumnya.
"Menurut Transparency International (Ti) yang menerbitkan laporan itu, penurunan markah boleh disabitkan dengan perubahan kerajaan secara tiba-tiba susulan Langkah Sheraton pada awal 2020.
"Faktor yang mempengaruhi termasuklah reformasi institusi yang terganggu, akses terhad terhadap maklumat berkaitan kepentingan awam, salah guna kuasa dan korupsi dalam agensi penguatkuasa yang berterusan, serta kurangnya tekad politik untuk melawan korupsi dalam sistem.
"Ini bukan hal yang baik untuk masa depan kita, dengan mengambil kira laporan PBB tentang Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang menyatakan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia yang merosot sehingga 68 peratus," kata NGO itu dalam kenyataan.
Kata Pusat C4 lagi, antara faktor lain yang turut menyebabkan kemerosotan adalah pelantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan serta dapatan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara.
Terdahulu hari ini, Presiden TI-Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata, untuk 2020 Malaysia mendapat 51 mata dan berada di kedudukan 57 berbanding tempat 51 (dengan markah 53 mata) pada 2019.
Muhammad juga berkata kemerosotan tahun lalu berlaku setelah peningkatan dua tahun berturut-turut sejak 2018 ekoran agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran PH.
Dalam pada itu, Pusat C4 turut menyuarakan keraguan berhubung pengendalian Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), dengan mendakwa tidak banyak perkembangan terbaru berkenaan 115 inisiatif dalam pelan itu.
"Kerajaan PN juga telah mengendalakan banyak inisiatif yang dimulakan PH, bukan NACP sahaja, malah sehingga menggantung pilihan raya dan Parlimen...
"Contoh lain yang dibangkitkan TI-M adalah beberapa kes mahkamah berprofil tinggi melibatkan ahli politik, tetapi ada yang dibebaskan dan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), serta kurangnya maklumat berkenaan kes seumpama itu.
"Ini semua boleh dikaitkan dengan pentabdiran baru dan ia sesuatu yang membimbangkan.
"Pusat C4 menggesa orang ramai agar mendesak kerajaan agar melakukan perubahan dan mula ke arah penambaikan dalam soal ketelusan, terutama dengan mengurangkan skop Akta Rahsia Rasmi kepada perkara berkaitan keselamatan negara sahaja, memberikan kemas kini dan perkembangan berkenaan NACP, dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010," kata NGO itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai