Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KPM minta guru lebih kreatif elak pelajar tercicir dalam PdPR

Guru disaran supaya lebih kreatif dalam penyampaian bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan semasa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Timbalan Menteri Pendidikan II Dr Mah Hang Soon berkata usaha sedemikian perlu kerana terdapat pelajar khususnya dari kawasan luar bandar yang menghadapi kesukaran mendapatkan capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari akan pelbagai masalah timbul sejak pelaksanaan PdPR namun sentiasa mencari jalan untuk mengatasi perkara berkenaan.

"Sejak permulaan PKP tahun lepas, pelbagai usaha dilakukan oleh KPM, pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta masyarakat untuk menambah baik kualiti PdPR terutama di tempat yang mempunyai kekurangan, jadi cara guru untuk membantu pelajar amat penting.

"Sebenarnya, banyak contoh bagaimana ibu bapa dan guru dapat bekerjasama untuk selesaikan masalah pembelajaran ketika ini... ada pelbagai cara pembelajaran sama ada dalam atau luar talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan, pelitup muka dan barangan kebersihan diri kepada penduduk Kampung Chang Lama, Sungai Gepai di Bidor hari ini.

Mengulas lanjut, Mah memberi contoh guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani di Bidor yang sangat komited dengan masuk ke kawasana perkampungan orang asli pada setiap minggu untuk mengajar.

“Untuk guru-guru seperti ini saya ucapkan terima kasih," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chang Lama, Sungai Gepai Dahil Yok Chopil berkata kira-kira 95 pelajar dan murid dari kampungnya menghadapi kesukaran pembelajaran kerana tiada capaian internet dan kebanyakan rumah tidak mempunyai dekoder untuk mendapat siaran seperti TV Pendidikan.

"Kalau dulu pakai antena bolehlah buka televisyen, sekarang ini tidak semua rumah ada dekoder myTV untuk buka TV Pendidikan.

"Memang ada cikgu datang hantar kerja sekolah tetapi masalahnya bukan semua ibu bapa tahu untuk membantu anak mereka.

"Ada ibu bapa yang tidak berapa pandai tidak dapat bantu apabila anak tanya tentang soalan kerja sekolah, jadi pada siapa pelajar ini hendak rujuk?" katanya.

Justeru, dia meminta pihak berwajib agar mencari jalan mengatasi masalah tersebut kerana keadaan itu dikhuatiri akan menyebabkan pelajar hilang semangat untuk belajar.

- Bernama