Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kluster Covid-19 dikesan di pulapol di Jalan Semarak

Kluster jangkitan Covid-19 dikesan di Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol) di Jalan Sultan Yahya Petra, yang sebelumnya dikenali sebagai Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan kluster Jalan Yahya yang terletak di jalan ini yang mempunyai lapan kes ketika diumumkan.

Kementerian itu mengatakan ia melibatkan sebuah institusi latihan di Jalan Sultan Yahya Petra di daerah Tititwangsa tetapi pihaknya tidak menyebutkan institusi tersebut.

Malaysiakini secara bebas mengesahkan bahawa ia merujuk pulapol berkenaan, di mana pemeriksaan kontak rapat dilakukan semalam.

Kementerian Kesihatan mengatakan kluster itu pertama kali dikesan pada 26 Januari, melalui pemeriksaan terhadap seorang lelaki berusia 58 tahun yang mempunyai gejala.

Pada hari yang sama, salah seorang kontak rapatnya didapati positif Covid-19, sementara pada keesokan harinya enam kontak rapat lain turut dijangkiti.

Sehingga semalam, 100 individu menjalani ujian Covid-19.

Hari ini, pejabat pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri yang terletak di seberang jalan yang sama, ditutup mulai esok untuk sanitasi, setelah kes Covid-19 dikesan.

Operasi akan disambung pada 2 Februari.

Pulapol bukan satu-satunya institusi latihan di mana kluster diumumkan semalam.

Kira-kira 13 pelajar pusat latihan yang dijangkiti di Jalan Pudu membentuk kluster Jalan Pudu sebelum ini.

Namun, kerana Jalan Pudu adalah jalan utama di Kuala Lumpur yang merangkumi beberapa kilometer, pusat latihan tepat yang dirujuk oleh Kementerian Kesihatan sukar dikenal pasti.

Walaupun Kementerian Kesihatan baru-baru ini mula mengenal pasti nama jalan atau kawasan kediaman di mana kluster dikesan, ia masih enggan menyebut secara spesifik perniagaan, institusi pendidikan atau bangunan yang terlibat.

Pendekatan itu diambil bagi mengelakkan stigma.

Bagaimanapun, beberapa jabatan kesihatan negeri menyampaikan maklumat ke mukim dan daerah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak secara rutin mengeluarkan nama-nama perniagaan dan bangunan dan waktu pesakit Covid-19 di Sarawak mengunjungi lokasi-lokasi tersebut sebelum didapati positif.

Mereka yang mendaftar masuk menggunakan MySejahtera di lokasi tersebut dalam jangka waktu yang sama juga akan menerima pemberitahuan di aplikasi tersebut.

Kerajaan negeri mengatakan ini adalah agar mereka yang terdedah dapat memantau gejala dan tampil untuk pemeriksaan Covid-19, dan bukannya perlu menunggu panggilan dari Jabatan Kesihatan tempatan.