Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kepadatan penduduk antara punca kes Covid-19 tinggi di Selangor

Kes positif harian Covid-19 yang tinggi di Selangor sejak kebelakangan ini berlaku disebabkan beberapa faktor, termasuk kepadatan penduduk terutamanya di kawasan bandar, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata jumlah kes harian positif Covid-19 yang tinggi itu pasti menjadikan rakyat Selangor agak gusar serta sangat bimbang apabila ia mencecah sehingga empat angka dan belum turun ke dua angka sejak sebulan lepas.

Disebabkan itu katanya, seluruh penduduk Selangor harus kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi.

“Apa yang dilakukan kerajaan negeri adalah memperbanyakkan ujian saringan terhadap masyarakat serta komuniti. Lebih 19,000 ujian dilaksanakan sejak jangkitan Covid-19 bermula (di Malaysia) dan kos ditanggung sepenuhnya oleh pentadbiran ini.

“Kami sasarkan 50,000 lagi ujian saringan akan dijalankan untuk membantu (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengenal pasti kes positif di Selangor,” katanya menerusi satu video dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Jelas Amirudin menerusi ujian saringan itu juga kerajaan negeri berupaya membantu mengasingkan individu positif Covid-19 daripada menjangkiti orang lain selain menggalakkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Amirudin berkata keadaan semasa jangkitan Covid-19 di Selangor masih terkawal dan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di sembilan daerah di negeri itu untuk memberi maklum balas serta nasihat kepada individu positif.

“Menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Selgate Corporation dan SelCare, kami akan menambah perkhidmatan di CAC untuk memberi maklum balas lain kepada masyarakat supaya mereka tahu ia (penularan Covid-19) masih boleh dikawal menerusi aktiviti harian sendiri khususnya melalui program kuarantin kendiri,” katanya.

Justeru kata Amirudin dengan usaha dan ikhtiar dilakukan kerajaan negeri termasuk penyediaan bantuan untuk rakyat menerusi Pakej Kita Selangor, ia diharap mampu meringankan tugas semua pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengekang penularan pandemik Covid-19.

- Bernama