Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kuil: Pergerakan pedati di Pulau Pinang dapat kebenaran MKN

Pergerakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak dilakukan awal pagi hari ini, sempena sambutan Thaipusam dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, untuk sampai ke Kuil Nattukottai Chettiar, di Jalan Air Terjun di George Town.

Pedati itu bergerak dari Kuil Kovil Veedu, Lebuh Penang di George Town pada 3.30 pagi ditarik oleh dua ekor lembu.

Pemenang amanah kuil Nattukottai Chettiar Dr A.Narayanan berkata, pihaknya mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melakukan pergerakan itu, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Kami membuat permohonan kepada MKN untuk membawa Pedati Perak ini dan dibenarkan, pihak polis mengawal sepanjang perjalanan yang mana laluannya lebih dekat berbanding laluan sebelum ini iaitu hanya 7 kilometer (km), selalunya sehingga 9km (sebelum ini).

“Laluan pedati juga ditetapkan oleh pihak polis dan kami mengikut semua SOP ditetapkan termasuk (pedati) tidak berhenti di mana-mana, sebalik hanya terus ke Kuil Nattukottai Chettiar sahaja, bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pedati seberat tujuh tan itu tiba di Kuil Nattukottai Chettiar kira-kira pukul 5.45 pagi, berbeza lebih daripada lima jam pada tahun-tahun sebelumnya, ketika beribu-ribu penganut Hindu berbaris di sepanjang laluannya untuk berdoa dan memecahkan kelapa.

Hanya 10 orang, kebanyakannya pegawai kuil, dibenarkan mengiringi pedati itu, manakala anggota polis yang menaiki motosikal menyertai konvoi kereta di belakangnya.

Pedati itu akan kembali ke Lebuh Penang pada hari Jumaat.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

- Bernama