Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adik batuk berdarah, aktivis khuatir sistem kesihatan S'wak pada tahap genting

Ketua Wanita PKR Sarawak, Agnes Padan menyatakan kebimbangan terhadap sistem kesihatan di negeri itu yang dikatakan semakin genting.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Agnes berkata adik lelakinya mengalami batuk berdarah akibat paru-paru berdarah dan disyaki mengidap penyakit TB, namun tidak dapat dirawat di Hospital Miri yang dikhaskan untuk merawat Covid-19.

Agnes yang merupakan seorang aktivis kesihatan menyertai PKR dan dilantik  sebagai ketua wanita parti itu pada tahun lalu.

Katanya, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zih Hing sebelum ini mengumumkan bahawa perkhidmatan klinik pakar di Hospital Miri ditangguhkan selama lima hari dari 25 hingga 29 Januari.

Ini selepas 20 kakitangan kesihatan diuji positif Covid-19, manakala hampir 200 kakitangan yang mempunyai kontak rapat diarah menjalani kuarantin.

"Saya bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh barisan hadapan doktor dan jururawat dan berdoa agar mereka semua pulih dan cepat sembuh.

"Berita ini seperti mimpi buruk bagi pesakit kronik di Lawas yang memerlukan layanan pakar di Hospital Miri, walaupun pihak hospital bekerja keras untuk menjadualkan semula janji temu dan memastikan bahawa bekalan ubat mencukupi dan berterusan.

"Namun, masalah utama yang dihadapi oleh pesakit kronik Lawas yang sangat memerlukan perkhidmatan kesihatan termasuklah menghadapi kesakitan, kos pengangkutan yang tinggi dan pergerakan yang terhad kerana sekatan," kata Agnes.

Setakat ini, Sarawak mencatatkan 28 kematian daripada 3,379 kes positif di negeri ini.

Pada masa ini, Sibu merekodkan jumlah kes tertinggi, sebahagiannya disebabkan oleh kluster Pasai Siong, dengan Miri mencatat kes kedua tertinggi.

Seramai 1,647 pesakit masih dirawat di hospital di negeri itu.

Masalah utama di Sarawak adalah jarak yang sangat jauh yang diperlukan untuk pergi ke hospital terdekat.

Lawas merupakan sebuah pekan di daerah Limbang yang bersempadan dengan Sabah dan Brunei. Ia memiliki jarak 190km dari Kota Kinabalu dan 230km dari Miri.

"Melalui darat, perjalanan memerlukan masa 5-6 jam dengan kos RM75 setiap orang bagi sehala. Bayaran penerbangan selama 45 minit adalah RM135 seorang," kata Agnes.

Tahun lalu, dilaporkan sebanyak 43.6 peratus daripada keseluruhan 625,400 isi rumah di Sarawak masih berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, dengan 10.7 peratus berpendapatan kurang dari RM2,000, menurut Laporan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran Sarawak 2019.

Banyak kes terdesak

Agnes menjadi aktivis penjagaan kesihatan berikutan kematian ibunya Kam Agong pada tahun 2002 di kampung Lun Bawang di Long Semadoh. 

Kam meninggal dunia tidak lama selepas melahirkan anak kelapannya, Jordan.

Agnes berkata perjuangan perlu diteruskan kerana terdapat banyak kes serupa.

Abangnya Sam pergi ke Hospital Miri pada 18 Januari lalu kerana mengalami batu berdarah. Dia dikeluarkan dari hospital tanpa ubat TB dan diminta kembali dalam masa dua minggu untuk mendapatkan keputusan.

Ahli Parlimen Miri Dr Micheal Teo yang membuka klinik swasta membekalkannya ubat TB sementara dia menjalani ujian lebih lanjut, namun dia masih mengalami batuk darah.

"Rawatan susulan seorang pesakit barah berusia 47 tahun yang saya kenali  ditangguhkan sebanyak empat kali sepanjang perintah kawalan pergerakan.

"Sukar untuk mendapatkan barang keperluan seperti beg stoma, pemasang pundi kencing dan pembalut luka," kata Agnes.

"Dia perlu menjalani ujian darah secara berkala dan juga memerlukan kelengkapan rawatan lain," tambahnya.

Dia juga menceritakan bagaiamana seorang pesakit lelaki berusia 30 tahun yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menunggu selama dua bulan untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum dikejarkan ke Hospital Miri beberapa hari lalu dalam keadaan kritikal.

Seorang pesakit buah pinggang lain tidak dapat menjalani dialisis kerana pusat dialisis yang ada tidak mempunyai kekosongan. 

Dia juga menghubungi dan membuat temu janji dengan Hospital Spitang tetapi tidak berjaya kerana tidak ada kekosongan dalam masa terdekat, kata Agnes.

"Apa nasib pesakit ini? Berapa lama mereka perlu menunggu rawatan?" soalnya.

[Baca berita penuh]