Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKPD di Penjara Bentong, kuarters kakitangan mulai esok

Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok (25 Jan) sehingga 8 Feb, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam kalangan tahanan di penjara terletak di Pahang itu dengan sebanyak 615 kes positif direkodkan melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya menerusi kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan dijamin.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142).

Menerusi Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, beliau berkata seramai 54 pendatang tanpa izin ditahan selain dua bot/kapal serta lima kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan 6,894 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 154 orang disahkan positif Covid-19.

- Bernama