Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tak patut berbalah mengenai jawatan PM ketika darurat, kata Hadi

Berbalah mengenai jawatan perdana menteri ketika negara berada dalam proklamasi darurat adalah perkara yang tidak patut dibuat, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Meskipun tidak menyebut nama, ucapan Hadi itu dipercayai merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sebelum ini mendakwa memiliki sokongan majoriti ahli parlimen.

"Perkara yang tak patut kita buat pada masa ini ialah berbalah berkaitan siapa nak jadi perdana menteri atau nak lantik siapa perdana menteri.

"Suasana hari ini dengan pandemik Covid-19 yang semakin mengancam nyawa rakyat, masih lagi ada yang nak berbahas berkenaan itu, kononnya cukup undi parlimen untuk mengubah perdana menteri.

"Ini semua kerja-kerja mengarut. Tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat. Perkara ini mesti ditolak dan dicegah," katanya pada Ucapan Penangguhan Webinar Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?, yang disiarkan YouTubenya, hari ini.

Semalam, Anwar ketua pembangkang hari ini mendakwa jumlah ahli parlimen yang bersetuju untuk menolak cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan darurat "lebih daripada mencukupi".

Setakat ini, kata Anwar ada antara 114 hingga 115 ahli parlimen yang sepakat mahukan darurat dibatalkan.

Kata presiden PKR itu lagi dengan jumlah berkenaan cukup untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mempertimbangkan usul tersebut dan memanggil sidang khas parlimen dengan segera.

"Sekarang telah mencecah 114 (atau) 115 yang menolak usul PN. Jumlah itu lebih daripada cukup menolak pandangan PN berhubung darurat, (ia) ditolak majoriti ahli Parlimen," katanya dalam program bual bicara Minda Profesor Negara.

Dalam pada itu, Hadi berkata apa saja langkah-langkah yang boleh mengganggu kerja untuk membantu rakyat semasa darurat ini mesti ditangani dengan peraturan yang tegas.

"Kalau kita berbalik kepada Islam, kita akan dapati bahawa perkara ini semua terdapat di dalam ajaran Islam .

"Dengan sebab itu jangan ragu, syak, dan was-was untuk bertindak dalam masa darurat ini sebagai sebuah kerajaan, demi maslahat kita semua yang diperintahkan oleh Allah SWT," katanya.

Rabu lalu, Anwar mempertahankan tindakan pembangkang menulis surat kepada Agong untuk memohon perkenan baginda membenarkan parlimen bersidang ketika darurat.

Pada 19 Jan, Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa mendakwa Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengantar surat kepada ahli parlimen parti itu untuk menyatakan persetujuan memohon Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang parlimen khas diadakan berhubung proklamasi darurat.

Annuar, yang juga bekas setiausaha agung BN, menyifatkan langkah itu sebagai "usaha jelas" untuk bersekongkol dengan pembangkang dan "menghina keputusan parti" serta "menderhaka kepada Agong".

Bagaimanapun, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Aziz yang juga MP Padang Rengas mempertahankan tindakan Ahmad Maslan.

Nazri pada 12 Jan mengikut jejak langkah dua ahli parlimen Umno MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan MP Machang Ahmad Jazlan Yakob yang dilapor menarik sokongan terhadap PN.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU ke-15.

Usul ini bakal dibahas pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang mana sebelum proklamasi darurat dijadual bakal berlangsung hujung Jan ini tetapi ditunda ke satu tarikh lain kelak.