Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya tak teruja Biden presiden baru

ULASAN | Saya tidak teruja apabila Joe Biden menjadi presiden Amerika Syarikat. Perasaan teruja dan keseronokan itu tiada. Bukan disebabkan oleh wabak Covid-19 tetapi memang perasaan saya begitu.

Mungkin saya sedikit teruja apabila Barack Obama terpilih sebagai presiden dahulu kerana dia adalah presiden kulit hitam pertama dalam sejarah Amerika Syarikat. Tetapi apabila melihat tindak-tanduknya yang berperang di Libya untuk perubahan rejim, maka ia tidak banyak berbeza berbanding presiden sebelumnya, George W Bush daripada Parti Republikan yang berperang di Afghanistan dan Iraq.

Biarpun Parti Demokrat atau Parti Republikan, dasar mereka hampir sama. Ini tidak menghairankan memandangkan mereka ditaja oleh kelas yang sama.

Kuasa pemerintah tetap berada dalam tangan golongan yang mengelolakan dua parti besar ini, iaitu kapitalis-kapitalis yang kaya. Maka tidak ada apa yang menyeronokkan sangat dengan peralihan kuasa antara dua puak yang mendukung sistem kapitalisme neoliberal yang sama.

Barangkali kita lebih seronok melihat Bangunan Capitol diserbu penyokong puak kanan yang pro-Trump kerana aksi tersebut dapat membogelkan Amerika Syarikat di mata dunia mengenai sistem dua darjat yang diamalkan oleh pasukan keselamatan dalam berdepan dengan himpunan orang kulit hitam dan orang kulit putih. Ia turut mendedahkan bahawa begitu rapuhnya sistem demokrasi Amerika Syarikat yang sebelum ini digendangkan oleh mereka sebagai “demokrasi terulung di dunia”.

Antara PN dan PH

Perasaaan tidak teruja ini sama ketika Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin mengambil alih kuasa daripada Kerajaan PH pimpinan Mahathir Mohamad. Tidak ada apa-apa yang seronok. Yang seronok hanyalah melihat media berhimpun di hadapan pintu Istana Negara, sedangkan realitinya tiada apa yang mengujakan.

Mungkin saya sedikit teruja apabila PH mengambil alih kuasa selepas 60 tahun pemerintahan Umno, namun perasaan itu semakin hari semakin terkikis apabila Kerajaan PH nampaknya tidak banyak membawa perubahan dasar berbanding dengan kerajaan sebelumnya, dan amat perlahan sekali dalam melakukan pembaharuan.

Setelah melihat pentadbiran PH selama 22 bulan yang sepatutnya membawa harapan baru tetapi hanya memberi harapan kosong, maka tidak ada apa-apa yang seronok apabila wujud pertukaran kerajaan sekali lagi.

Maka saya tidak teruja apabila Anwar Ibrahim berkata dia mempunyai angka yang cukup untuk memerintah, ataupun apabila Shafie Apdal berkata dia mempunyai sokongan yang cukup untuk menjadi perdana menteri. Saya juga memang tidak teruja apabila Mahathir mahu menjadi perdana menteri buat kali ketiga. Semua angka-angka yang ditonjolkan mereka langsung tidak membuat saya seronok. Angka-angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari lebih mencemaskan.

Demokrasi, wang, kuasa

Mungkin saya akan teruja dan seronok jika orang seperti Bernie Sanders menjadi presiden Amerika Syarikat. Ini kerana kempen pilihan rayanya dikelola secara langsung oleh rakyat biasa dan bukan korporat. Mungkin dia akan membawa idea-idea baru yang akan membantu rakyat majoriti kaum pekerja keluar daripada belenggu kemiskinan. Namun, amat mustahil untuk individu yang tiada duit untuk menang pilihan raya, kerana pilihan raya adalah pertandingan antara tauke-tauke besar.

Dalam erti kata yang sama, apabila orang bertanya mengapa parti yang berprinsip seperti PSM sukar untuk menang PRU, jawapannya adalah sama. PSM bukannya dikelola oleh tauke-tauke besar yang menyumbang kepada proses berkempen dan membeli undi. PRU adalah perlumbaan atau pertandingan antara dua parti terkaya dan penaja mereka.

Selagi rakyat terperangkap dengan struktur demokrasi dan politik wang ini, politik hanyalah permainan untuk pihak yang menguasai parti, tidak kira Demokrat atau Republikan. Walaupun Trump seorang hartawan, namun dia mendapat sokongan yang begitu besar dalam kalangan kaum pekerja.

Akan tetapi, kaum yang memerintah tetap puak kapitalis yang mendukung parti-parti ini. Rakyat di Amerika Syarikat diberi pilihan antara Coke dan Pepsi. Oleh itu, rakyat hanya dapat menukar selera, tetapi bukan taukenya.

Adakah ini bermakna perubahan tidak akan berlaku? Hari ini wabak Covid-19 telah mencabar idea pemikiran kita. Perubahan iklim adalah satu lagi ancaman kepada cara dunia ditadbir selama ini.

Namun, perubahan hanya boleh berlaku apabila wujudnya gelombang radikal rakyat yang hebat, iaitu apabila sistem yang lama dikuburkan oleh sistem yang baru, apabila parti yang didukung dan ditaja oleh rakyat biasa dapat menumpaskan parti yang didukung oleh kelas kapitalis dan golongan mahakaya.

Dunia kita pernah menyaksikan sistem perhambaan dan sistem feudal dikuburkan, pernah menyaksikan empayar-empayar besar jatuh di bawah kebangkitan kuasa rakyat. Ini adalah masa-masa yang penuh dengan keseronokan kepada golongan terbanyak di dunia.


S ARUTCHELVAN ialah timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.