Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes Covid-19 naik sebab gagal patuh SOP penjarakan fizikal - Ismail

Esok genaplah setahun negara dibadai pandemik Covid-19, apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Jan 2020.

Ketika gelombang pertama, ia melibatkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula berlaku melibatkan penularan tempatan, dengan kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 4 Feb 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dan setelah beberapa bulan apabila jangkitan menunjukkan penurunan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKP) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran menerusi PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun.

Bagaimanapun akibat sedikit kealpaan sahaja, virus itu kembali mengganas untuk gelombang ketiga dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober lepas, dan apabila kes semakin meningkat tahun ini, kerajaan terpaksa melakukan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak.

Sehingga semalam (23 Jan), kumulatif kes dilaporkan adalah 180,455 kes dengan kes aktif 42,769, bermakna negara dijangka terus mencatatkan angka harian tinggi dan 667 kematian telah dicatatkan.

Satu hakikat yang perlu diakui, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, advokasi dan peraturan baru dilaksana dalam negara dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan tempoh ini juga menyaksikan rakyat Malaysia hampir setiap hari dimaklumkan secara langsung perkembangan terkini Covid-19 terutama oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selepas setahun isu Covid-19 menjadi cabaran utama negara, bukan sahaja dalam aspek kesihatan tetapi kesannya kepada ekonomi.

Baru-baru ini semasa temu bual eksklusif dengan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Thivyamalini Ramalu di pejabat beliau, Ismail Sabri selaku menteri yang bertanggungjawab dalam isu membendung Covid-19 daripada aspek bukan kesihatan berkongsi pandangan dan pengalaman beliau tentang cabaran mengurus pandemik itu terutama dalam hal pelaksanaan SOP ketika PKP, PKPB dan PKPP.

Berikut ialah transkrip temu bual itu:-

Bernama: Wabak Covid-19 telah setahun melanda Malaysia. Sejak Mac tahun lepas kerajaan telah laksanakan PKP, diikuti PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP). Pada awalnya usaha itu nampak berjaya mengurangkan kes namun ia kembali kritikal sehingga PKP terpaksa dilaksanakan semula. Apakah punca peningkatan jangkitan?

Ismail Sabri: Waktu itu (Mac 2020), rakyat terlalu takut dengan Covid-19. Bila kerajaan kata ‘duduk rumah jangan keluar’, hampir semua rakyat patuh dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kurang. Tapi lama kelamaan, (mungkin) rakyat rasa kehidupan ini sudah normal kerana tiada PKP dan kerajaan pun mula beri kelonggaran secara beransur-ansur.

Hampir semua sektor ekonomi dibuka malah aktiviti sosial seperti kenduri dan aktiviti sukan dibenarkan menyebabkan mungkin rakyat sudah rasa selamat daripada Covid-19. 

Walaupun arahan pemakaian pelitup muka dipatuhi namun aktiviti berkumpulan secara besar-besaran tetap berlaku, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Penjarakan fizikal hampir tidak berlaku. Waktu itu juga salah satu punca kes meningkat di Sabah adalah kerana pendatang asing dan merebak dalam komuniti seterusnya ke Semenanjung selepas PRN tamat.

Bernama: Bagaimana kadar kepatuhan rakyat terhadap SOP PKP?

Ismail Sabri: Berdasarkan kajian yang dibuat Universiti Teknologi Mara, hampir 95 peratus rakyat patuh SOP bagi pemakaian pelitup muka. Ia bagaikan menjadi budaya baru, bahkan di kampung sekali pun perkara itu dititikberatkan.

Tetapi KKM berpendapat pelitup muka semata-mata tanpa penjarakan fizikal adalah tidak mencukupi. Kita lihat kebanyakan tempat seperti restoran contohnya, penjarakan fizikal tiada. Inilah paling bahaya.

Bernama: Ramai berpendapat kes kembali meningkat apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan termasuk untuk melancong. Bagaimana pendapat Datuk Seri dalam hal ini?

Ismail Sabri: Mungkin ada melibatkan kes rentas negeri tapi dari segi penyumbang terbesar kes adalah pekerja asing di sektor perkilangan, dan sebab itu mereka diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19. 

Keduanya ialah pekerja di tapak binaan. Jadi, kita fokus kepada permasalahan tersebut dengan menyediakan tempat tinggal kondusif untuk pekerja dan sebagainya. 

Bagi kes Covid-19 akibat rentas negeri, ia hanya salah satu daripada penyumbang kes dan bukan penyumbang terbesar.

Bernama: Bagaimana Covid-19 dilihat dapat mendisiplinkan rakyat selain mengadaptasi norma baru?

Ismail Sabri: Boleh dikatakan rakyat sudah ada kesedaran, lihat sahaja di ‘mall’, kurang orang dan mereka tahu jika tiada keperluan, tidak perlu keluar rumah apatah lagi membawa anak kecil bersama.

Setakat ini, pemakaian pelitup muka nampak jelas dan kita lihat rakyat mula menukar cara hidup dengan lebih berdisiplin, contohnya seperti tunduk hormat bagi elakkan berjabat tangan atau perkara yang mengelakkan sentuhan.

Yang menjadi isunya ialah penjarakan fizikal, kerana mereka yakin (anggap) jika pakai ‘mask’ dan berdekatan antara satu sama lain adalah tidak berisiko.

Bernama: SOP penjarakan fizikal jelas sukar untuk dipatuhi dan apa tindakan pihak berwajib dalam mewujudkan kesedaran mengenainya?

Ismail Sabri: Pertamanya, kita hanya boleh ingatkan rakyat. Walaupun diingatkan oleh saya dan DG (Dr Noor Hisham) mengenai pematuhan SOP, setiap hari akan ada puluhan orang yang dikenakan tindakan akibat gagal patuh SOP. 

Keduanya, adalah tindakan undang-undang yang mana ia ada hukumannya tersendiri dan ketiga ialah kesedaran diri. 

Anggota polis ada juga berlembut dan ada budi bicara, namun kadang-kadang tiada pilihan menyebabkan rakyat dikenakan hukuman.

Bernama: Mengenai sempadan, bila jangkaan pintu masuk negara akan dibuka kepada negara luar?

Ismail Sabri: Kita tidak akan buka sempadan dengan begitu cepat kerana negara lain turut berdepan pandemik Covid-19. Walaupun baru-baru ini kerajaan bercadang untuk buka sempadan untuk beberapa negara luar melalui gelembung perjalanan zon hijau, tapi kita tangguh dulu cadangan tersebut.

Ini kerana Malaysia yang bercadang untuk membenarkan inisiatif itu tapi bagaimana pula dengan negara lain yang tidak akan benarkan orang Malaysia untuk melancong ke negara mereka?

Amerika Syarikat turut mengeluarkan arahan agar rakyatnya mempertimbangkan melancong ke negara kita akibat kes Covid-19 tinggi.

Saya ingat sempadan ini paling akhir untuk dibuka kerana jika tidak, kes dari negara luar akan masuk dan menular dalam negara. Contohnya kita masih menyekat pelajar dari United Kingdom yang belajar di negara ini. Pelajar lain yang dibenarkan masuk pula melalui SOP yang ketat.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.