Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kos tak langsung kekang hospital swasta turunkan caj rawatan Covid-19

Menerima pesakit Covid-19 bermakna hospital swasta perlu menggaji lebih ramai kakitangan untuk bertugas dan mewujudkan lebih banyak wad pengasingan.

Meskipun mengakui sedia untuk menyerap kos tambahan berkenaan, hospital swasta menegaskan mereka lebih bersedia untuk menerima pesakit bukan Covid-19 dari hospital awam.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh menjelaskan hospital-hospital yang menganggotai badan itu bimbang mengenai kos-kos “tidak langsung”.

“Banyak kos tidak langsung yang tak dapat dihitung semasa merawat pesakit Covid-19 di hospital swasta kerana (apabila) kami menerima pesakit Covid-19, kami harus tutup seluruh wad.

“Kalau ada seorang pesakit (Covid-19), seluruh wad (kena) tutup. Maknanya mereka akan hilang pendapatan kerana tidak menerima mana-mana pesakit lain ke dalam kawasan berkenaan.

“Kami turut harus membayar (gaji) ramai kakitangan tambahan untuk menjaga pesakit Covid-19,” katanya.

Meskipun hospital swasta tidak bercadang mengenakan kos tidak langsung itu ke atas pesakit Covid-19, kata Kuljit, kos berkenaan juga menghalang hospital swasta terbabit menurunkan caj rawatan mereka.

“Kami tak boleh kurangkan lagi caj kami untuk merawat pesakit Covid-19 kerana ada banyak kos tidak langsung yang kami serap dan tidak dikira,” tambahnya.

Pengorbanan sangat besar

Menurut Kuljit, hospital swasta akan menunaikan tanggungjawab membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi ia perlu dibuat mengikut kemampuan terbaik mereka.

"Kami tak mampu melakukannya secara percuma atau dengan kos sangat rendah kerana kami dibina dan beroperasi secara bebas.

“Kami perlu pastikan perkhidmatan kami terus berjalan.

“Tetapi apa yang perlu kami sebutkan, kos tidak langsung dan kos tersembunyi tidak akan dikira. Itu sudah merupakan satu pengorbanan yang sangat besar,” tegas Kuljit.

Dr Kuljit Singh

Semalam, Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) Anthony Lee menggesa hospital swasta mempertingkatkan bantuan mereka dalam merawat pesakit Covid-19.

Mengambil kira faktor kos tidak langsung yang ditanggung untuk merawat pesakit Covid-19, Kuljit mencadangkan agar hospital swasta digunakan untuk merawat kes-kes bukan berkaitan wabak tersebut.

Katanya ia akan membolehkan kerajaan memberi fokus untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital awam.

“Pendirian kami (agar hospital awam) menghantar pesakit bukan Covid-19 kepada kami supaya kami boleh kosongkan hospital kamu pada kadar lebih cepat. Kemudian, kamu akan ada lebih kapasiti di hospital awam untuk (rawatan) Covid-19.

“Hantarlah pesakit bukan Covid-19 kepada kami. Kami boleh (rawat) segera, dalam bilangan yang besar,” katanya.

Tetap permulaan lebih baik 

Kerajaan bercadang melibatkan hospital swasta kerana hospital awam kini tertekan dengan lonjakan kes Covid-19. KKM bercadang untuk memindahkan kedua-dua pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 ke hospital swasta.

KKM berharap untuk melaksanakan rangka integrasi itu seawal minggu depan, tetapi pemegang taruh masih memperhalusi pilihan bayaran yang sesuai kepada pesakit.

Polisi insurans secara umumnya tidak merangkumi risiko berkaitan pandemik. Firma insurans juga berkata terlalu sedikit yang mereka tahu mengenai virus itu untuk menginsuranskan perlindungan terhadapnya.


Baca Melihat peranan sektor swasta melawan Covid-19 


APHM sebelum ini menggesa syarikat insurans untuk mempertimbangkan semula pendirian mereka dan melindungi pesakit Covid-19 dengan kad perubatan.

Putrajaya baru-baru ini memperuntukkan RM100 juta untuk melibatkan hospital swasta dalam merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Meskipun belum menerima perincian mengenai bagaimana wang itu akan digunakan, Kuljit menyifatkan RM100 juta itu “sudah tentu tidak cukup”, tetapi ia satu permulaan yang baik.

“Kami boleh caj pesakit daripada hospital awam daripada RM100 juta itu [...] kami sentiasa boleh runding berkenaan harga, itu bukan suatu masalah.

“Tapi sekurang-kurangnya, (mereka boleh) kosongkan hospital mereka (awam) supaya mereka boleh lakukan rawatan Covid-19. 

"Itu lebih baik daripada menjadikan hospital mereka hospital Covid-19, supaya kita tak sebarkan jangkitan ke merata tempat,” katanya.

[Baca laporan asal]