Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anwar: GST paling telus tapi perlu kajian jika mahu laksana semula

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan sistem percukaian yang dianggap paling telus.

Bagaimanapun, Anwar berkata kajian terperinci perlu dilakukan jika ia mahu dikembalikan semula agar tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

"Semasa menjadi menteri kewangan, saya kaji pengalaman Kanada dan New Zealand (mengenai GST), tetapi masa itu saya tangguhkan. Saya akui GST satu sistem pencukaian yang dianggap paling telus.

"Saya tangguh kerana pendapatan rakyat pada ketika itu terlalu rendah. Perlu ada paras ambang (pendapatan rakyat sebelum melaksanakannya). Jika pendapatan (purata isi rumah) masa itu mencecah RM3,000, boleh mula (laksana)," katanya.

Dia berkata demikian dalam program bual bicara Minda Profesor Negara "Bicara Negarawan" mengenai Masa Depan Malaysia : Ke Mana Kita? di laman sosial Facebook Majlis Profesor Negara, hari ini.

GST mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus sebelum digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh pentabdiran PH pada September 2018.

Pemansuhan GST termsuk dalam manifesto PH ketika PRU 2018.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kajian perlu dilakukan jika GST ingin dilaksanakan semula, selain diberi pengecualian dan syarat yang lebih ketat.

"Tidak boleh seperti yang diperkenalkan (sebelum ini) kalau pendapatan (negara) bertambah tetapi ia mendera rakyat miskin," kata presiden PKR itu lagi.

Bagaimanapun, Anwar berkata ia bukanlah hal yang perlu disegerakan lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan dengan pelbagai bebanan hidup.

"Boleh dilaksanakan sebaik ekonomi lebih dipacu, keyakinan dan pendapatan rakyat meningkat. Namun bukan perlu disegerakan," katanya.

Pada Dis lalu, Timbalan Menteri Kewangan Abd Rahim Bakri berkata keputusan kerajaan PH memansuhkan GST sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan negara.

Dia juga berkata kerajaan hanya akan mengembalikan sistem itu selepas kajian terperinci dilakukan.