PAS harap semua pihak sokong usaha k'jaan tangani LGBT
PAS berharap semua pihak menyokong usaha kerajaan menangani isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.
Naib presidennya, Idris Ahmad berkata ia termasuk langkah kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi menangani isu itu dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan menumpukan usaha bimbingan terhadap golongan itu dan pada masa sama meneliti aspek pemerkasaan Undang-undang Syariah melalui pindaan dan penambahbaikan.
"Kita sememangnya perlu pemerkasaan undang-undang sedia ada memandangkan aktivis dan ikon LGBT turut mempromosi gaya hidup toksik ini secara terbuka khususnya melalui platform media sosial.
"Perlu difahami bahawa pemerkasaan undang-undang ini bukan bermaksud membuka ruang kebencian, bahkan ia perlu dilaksanakan dalam usaha untuk menghalang normalisasi LGBT daripada menjadi budaya dalam masyarakat kita sehingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
"Saya mengharapkan agar usaha Kerajaan untuk menangani isu LGBT di negara ini mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak," katanya lagi.
Penubuhan jawatankuasa itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary yang menyatakan ia dianggotali lebih 20 organisasi berkaitan.
Ia juga telah memulakan mesyuarat pertamanya bulan lalu, kata Marzuk.
Terdahulu, Ahmad Marzuk dilaporkan berkata kerajaan persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk meminda undang-undang lebih tegas dalam penguatkuasaan terhadap golongan LGBT.
Pada masa sama, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika ucaptama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital Asean Pertama (ADGMIN1) menyarankan Asean mengambil sikap lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian, termasuk gangguan berdasarkan gender atau orientasi seksual serta mempromosi keganasan melalui platform digital.
Mengulas lanjut, Idris berkata penubuhan jawatankuas itu satu keperluan kerana kerajaan perlu mengakui masih ada kelompongan dalam aspek perundangan berkaitan.
Sehubungan itu, dia menyuarakan sokongan terhadap cadangan pindaan perundangan.
"Perkara ini merujuk kepada perlakuan LGBT yang dilakukan di media sosial serta beberapa aspek pertimbangan yang lain," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai