Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKP lanjut: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 masih tinggi

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia kebanyakannya tidak berubah sepanjang dua minggu ini, apabila kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa mulai hari ini dan memperluasnya ke negeri-negeri lain.

Menurut data Institut Kesihatan Nasional (NIH) Kementerian Kesihatan, jangkitan penyakit (seperti yang diukur dengan bilangan pembiakannya yang efektif; Rt) telah meningkat di atas 1.10.

Anggaran terbaru menunjukkan bahawa angka itu adalah 1.14 setakat kelmarin.

Ini bermaksud secara purata, setiap 100 pesakit Covid-19 menjangkiti 114 orang lain dalam setiap kitaran penularan penyakit.

Sebarang angka lebih tinggi daripada 1.00 menunjukkan wabak yang semakin meningkat.

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah meramalkan masa agak lama diperlukan sebelum PKP berjaya menurunkan jumlah kes Covid-19 kerana tempoh inkubasi 14 hari penyakit ini.

Sebagai perbandingan, kajian terdahulu menganggarkan Rt Covid-19 sekitar 3.6 jika tidak ada langkah-langkah yang diambil untuk membendungnya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memperluas PKP ke semua negeri kecuali Sarawak, walaupun beberapa bahagian di Sarawak juga berada di bawah PKP. Skop PKP yang diperluas berkuat kuasa hari ini.

Semalam, MKN telah melanjutkan PKP yang sudah dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kelantan, Sabah dan Labuan hingga 4 Februari.

Jangkitan tinggi di Sarawak

Sementara itu, Noor Hisham yang menyampaikan anggaran Rt pada sidang akhbarnya di Putrajaya semalam menyatakan kebimbangan terhadap Rt untuk Sarawak.

"Apa yang kita risaukan adalah Sarawak, di mana jangkitan sudah bermula dan kita melihat kebolehjangkitan tinggi 1.50," katanya.

Perlis juga menunjukkan kadarkebolehjangkitan yang tinggi, dengan Rt 1.43.

Bagaimanapun, perlu diperhatikan Perlis mempunyai wabak yang relatif kecil hanya 55 dalam 14 hari terakhir, berbanding 1,231 di Sarawak.

Semua negeri dan wilayah lain juga menunjukkan Rt di atas 1.00, kecuali Labuan.

Menurut data NIH, Rt di Labuan adalah 0.88. Ini menunjukkan wabak yang menyusut, bermakna setiap 100 pesakit Covid-19 menjangkiti hanya 88 yang lain.

Pulau itu telah mencatat 140 kes dalam 14 hari terakhir.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.