Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cuti Thaipusam: NGO nafi MB Kedah beri penjelasan pada wakil masyarakat India

Sebuah NGO hari ini menafikan kenyataan Menteri Besar Sanusi Md Nor bahawa dia telah memberi penjelasan kepada tiga kumpulan yang mewakili masyarakat India berhubung tiada cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam tahun ini.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan India Daerah Kuala Muda, K Maniam mendakwa perjumpaan Sanusi dengan tiga NGO itu langsung tidak menyentuh perkara itu.

"Dalam perjumpaan, kami bersama Persatuan India Kedah (KIA), Persatuan Hindu Sangam Kedah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kedah menghadiri perjumpaan itu.

"MB Kedah mempengerusi perjumpaan...Kami berbincang pasal peruntukan sebuah dewan di Sungai Petani, tanah pertanian untuk penternakan itik dan lembu dan juga isu Pertubuhan Pendaftaran berkaitan rumah ibadat Hindu di Kedah.

"...Tetapi tidak berbincang mengenai perayaan mahupun cuti peristiwa Thaipusam," dakwanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi tiga NGO lain untuk mendapatkan ulasan.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Sanusi berkata perjumpaan dengan tiga kumpulan itu dibuat minggu lalu dan dia telah memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Terdahulu hari ini, Sanusi berkata keputusan itu bukan berniat menafikan hak penganut Hindu di Kedah dan penganut agama itu masih boleh meraikannya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selama ini pun Kedah tak cuti Thaipusam melainkan dua tahun terakhir yang dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri Kedah," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi MIC Kedah S Ananthan berkata pihaknya akan terus menekan kerajaan negeri untuk mengumumkan cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam yang jatuh pada 28 Januari ini.

"Kami dan lebih 90 NGO mendesak kerajaan negeri untuk mengumumkan cuti peristiwa.

"Kami tidak berganjak atau menarik balik keputusan ini," katanya ketika dihubungi, selepas mengadakan mesyuarat bersama ketua komuniti India dan wakil NGO di Sungai Petani, hari ini.