Lanjutkan operasi kedai makan demi ekonomi rakyat - Mahdzir
Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid menggesa kerajaan supaya melanjutkan waktu operasi restoran dan kedai makan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga jam 10 malam demi kepentingan ekonomi rakyat.
Mahdzir berkata, dia yakin perkara itu mampu dilaksanakan jika kawalan dan prosedur standard operasi (SOP) ketat dikenakan meskipun Covid-19 mencatatkan peningkatan.
Katanya, bukan saja restoran, pendapatan bagi pekerja penghantaran juga susut mendadak kerana kekurangan tempahan yang diterima daripada pelanggan yang tidak sempat membeli makanan selepas jam 8 malam.
"Ini juga berkait dengan ekonomi rakyat, pembekal bahan mentah makanan, peniaga, pemilik restoran dan kedai makan terjejas, pendapatan pekerja penghantaran terjejas kerana bagi saya waktu antara 8 malam hingga 10 malam itu adalah waktu perdana bagi orang ramai untuk mendapatkan makanan untuk makan malam.
"Kelonggaran tambahan had waktu operasi selama dua jam itu akan memberi impak yang besar kepada rantaian ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Berilah sedikit pertimbangan untuk membolehkan mereka membuka restoran dan kedai makan sehingga jam 10 malam. Saya dengar ramai sangat yang merungut dan mahukan kelonggaran diberikan. Ini soal kelangsungan hidup semua pihak dalam keadaan serba sukar sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 18 Jan lalu, seramai 21 ahli parlimen pembangkang menggesa kerajaan supaya melanjutkan waktu operasi restoran dan kedai makan di negeri yang diletakkan di bawah PKP.
Jelas mereka, waktu operasi yang diterhadkan sehingga jam 8 malam itu menyulitkan rakyat untuk membeli makanan selepas habis waktu bekerja.
"Kami menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki SOP ini kerana ia memberi kesan kepada para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka,” kata anggota-anggota parlimen itu dalam satu kenyataan.
Gesaan lanjutan waktu operasi kedai makan itu turut disuarakan oleh Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan beberapa penghantar makanan sebelum ini.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata kelonggaran waktu operasi sektor ekonomi itu akan memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak.
Kerajaan katanya, wajar mempertimbangkan cadangan itu kerana syarat penutupan operasi restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam telah menyukarkan banyak pihak.
“Saya berpandangan bahawa ada kewajaran untuk kerajaan mengkaji semula syarat itu yang sememangnya agak menyukarkan banyak pihak.
"Saya memahami bahawa ketika ini peningkatan kes-kes Covid-19 amat membimbangkan, tetapi saya yakin bahawa dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak, kita dapat mengelakkan restoran dan kedai makan menjadi kluster jangkitan Covid-19 kerana mereka hanya menjual secara tempahan dan dihantar oleh pekerja penghantaran," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai