Kumpulan gajah berkeliaran di Kahang dipercayai cari makanan
Sekumpulan gajah dilihat berkeliaran di sekitar kawasan Kampung Sri Lukut dan Kampung Pinggir, Kahang, dekat Kluang, sejak beberapa hari lepas, dipercayai sedang mencari makanan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor Salman Saaban mengakui bahawa sekumpulan kira-kira 50 ekor gajah sering dilihat berada di kawasan kelapa sawit sekitar kawasan berkenaan ketika ini.
Katanya hasil tinjauan dron mendapati pergerakan kumpulan gajah berkenaan agak perlahan kerana bilangan anaknya yang banyak, selain faktor paras air Sungai Kahang yang meningkat berikutan banjir baru-baru ini menyukarkannya untuk menyeberang dan bergerak ke lokasi lain.
Justeru beliau menasihati orang ramai untuk mengelak daripada bergerak ketika waktu malam serta tidak mengambil tindakan sendiri atau cuba melakukan provokasi sekiranya bertembung dengan haiwan itu dan segera melaporkan kepada pihaknya.
"Kumpulan gajah ini tidak sesat, memang kawasan itu adalah antara kawasan ia berkeliaran di Taman Negara Endau Rompin.. cuma kali ini agak lama (berada di kawasan itu),” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru bagi mendapatkan maklum balas mengenai video kemunculan sekumpulan gajah yang tular di media sosial baru-baru ini.
"Ia tidak bahaya jika tidak diancam kerana gajah hanya datang untuk cari makan.
"Bergantung kepada bilangan dalam kumpulan gajah, lagi besar maka lagi luas kawasan pergerakan sebab perlu cari makanan banyak...kebiasaannya melibatkan kawasan antara 25 hingga 100 kilometer (km) persegi," katanya.
Salman berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dan kawalan bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman penduduk kampung berdekatan, dan setakat ini pihaknya tidak menerima laporan rasmi berhubung video tular itu.
Menurutnya kumpulan gajah kebiasaannya akan berada di satu-satu kawasan dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum bergerak ke lokasi yang lain.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai