Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha menteri positif lepas hadir mesyuarat khas MKN

Nota editor: Laporan ini dikemas kini untuk memaparkan bahawa Covid-19 hanya terdedah kepada individu dari Kementerian Sumber Manusia yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan. Peserta lain dalam mesyuarat sama tidak terdedah kerana ia diadakan secara maya.


Menteri Sumber Manusia M Saravanan diarah menjalani kuarantin selepas menjadi kontak kepada seorang pembantunya yang kemudian disahkan positif Covid-19.

Ia berlaku ketika mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara bersidang secara maya pada 13 Jan lalu dan Saravanan hadir sebagai wakil dari kementeriannya.

Ketika dihubungi Saravanan berkata pembantunya yang positif itu hadir sebelum mesyuarat berlangsung bagi memastikan semua keadaan berada dalam keadaan sepatutnya.

"Dia tidak hadir semasa mesyuarat berlangsung," katanya.

Bagaimanapun Saravanan kini dianggap sebagai kontak rapat dan dikehendaki menjalani kuarantin.

Perkara itu dimaklumkan dalam surat bertarikh 16 Jan yang dihantar kepada Saravanan bagi memaklumkan dia kini dikenal pasti sebagai salah seorang kontak rapat kerana menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Dimaklumkan bahawa Setiausaha Politik kepada YB Datuk Seri telah disahkan positif Covid-19 pada 16 Januari 2021 (Sabtu).

"Justeru, hasil contact tracing telah mengenal pasti bahawa YB Datuk Seri sebagai kontak rapat kerana terlibat dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 13 Januari 2021 (Rabu) yang turut dihadiri oleh pesakit.

"Datuk Seri adalah dipohon untuk terus menjalani kuarantin kendiri berkuat kuasa 16 Januari 2021 (Sabtu) sehingga 22 Januari 2021 (Jumaat) bagi mengekang penularan wabak Covid-19," menurut surat Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan kementerian berkenaan yang dilihat Malaysiakini hari ini.

Seorang jurucakap kementerian terbabit menjelaskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - yang mempengerusikan mesyuarat itu - tidak terdedah kerana mereka berada di lokasi berbeza.

Mesyuarat Khas MKN diadakan setiap hari dan biasanya dipengerusikan oleh Muhyiddin dan dihadiri - antara lain - Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Pendidikan Radzi Jidin, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan tentera Affendi Buang.

Mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan situasi Covid-19 di negara ini serta dasar-dasar yang berkaitan dengannya.

Minggu lalu, beberapa menteri kabinet disahkan positif Covid-19 termasuk  Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Ahli politik lain yang disahkan positif Covid-19 termasuk Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, naib presiden PAS Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin.