Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Guru didenda RM1,000 cederakan dua beradik

Seorang guru didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mencederakan dua lelaki yang juga adik-beradik, pada Mac 2019.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Yusri Budin, 44, selepas pengakuan bersalah direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang guru di Perak dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Faizal, 43, dan Muhammad Aiman, 30, di tepi jalan di Lembah Sireh, Kota Bharu, dalam kejadian jam 8.15 malam pada 28 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Raja Mohammad Afiq Raja Azmi.

Terdahulu, Raja Mohammad Afiq memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan anak guamnya sudah insaf.

Katanya, tertuduh merupakan seorang guru perlu menanggung enam anak serta isteri, selain baru mengalami kemalangan pada Disember tahun lalu dan kini masih dalam proses rawatan.

Malah, tertuduh dilihat hadir ke prosiding kes itu dengan menggunakan bantuan pergerakan melalui kerusi roda.

Sharifah Amirda Shasha bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan supaya kejadian itu tidak berulang dan menjadi pengajaran.