Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dapatkan kebenaran PKOB sebelum sertai misi pascabanjir di Pahang - Polis

Polis Pahang hari ini mengingatkan mereka yang ingin melakukan misi bantuan pascabanjir di negeri itu agar mendapatkan kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah sebelum melakukan perjalanan merentas negeri.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata mereka yang tiada surat kebenaran itu akan diarah berpatah balik dan dikompaun RM1,000 jika ingkar.

"Untuk memudahkan urusan, saya berharap mereka yang mahu menghantar bantuan mencetak kelulusan PKOB daerah dan mengemukakannya kepada polis semasa membuat permohonan permit merentas negeri.

"Ini untuk mengelakkan kekeliruan kerana ada yang berpendapat permit rentas negeri daripada polis sudah mencukupi, sedangkan ketetapan kerajaan negeri ialah mereka perlu mendaftar di https://ebanjir.pahang.gov.my dan menunggu kelulusan diberikan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sebanyak 13 sekatan jalan raya diadakan di sempadan negeri termasuk di laluan tikus, seperti di Rompin yang merupakan laluan masuk dari selatan, Cameron Highlands (utara), Bentong (Lembah Klang), Lipis (Kelantan) dan Kuantan (pantai timur).

"Mereka dari luar Pahang yang mendapat kebenaran PKOB juga hanya boleh menghantar bantuan itu ke PKOB daerah dan terus bergerak pulang kerana barangan itu akan diagihkan oleh PKOB," tambah beliau.

- Bernama