Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Amaran gempa lebih kuat, tsunami di Sulawesi Barat

GLOBAL | Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya gempa lebih kuat, yang boleh mencetuskan amaran tsunami di Sulawesi Barat, susulan gempa bermagnitud 6.2 Skala Richter, awal pagi tadi.

Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia Dwikorita Karnawati dalam siaran media menerusi webinar berkata sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 28 gempa susulan bermagnitud sederhana di bawah 5 Skala Richter berlaku di kawasan berkenaan.

Menurut analisis BMKG, gempa itu disebabkan pergerakan batuan dan tanah Mamuju dan ia adalah ulangan pergerakan batuan dan tanah yang pernah terjadi pada tahun 1969 (yang mencetuskan gempa 6.9 Skala Richter) dan 1984 (yang mencetuskan gempa 6.7 Skala Richter).

"Gempa susulan (yang lebih kuat) memungkinkan untuk terjadinya tanah runtuh di dasar laut sehingga berpotensi terjadi tsunami ," kata Dwikorita.

Pihak berkuasa Indonesia kini mengeluarkan arahan supaya penduduk di kawasan terbabit menjauhi kawasan pantai dan lereng bukit, kerana gempa susulan dikhuatiri berpotensi berlaku tsunami atau kejadian tanah runtuh.

Sementara itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia Dr. Raditya Jati, dalam satu kenyataan berkata pasukan mencari dan penyelamat melibatkan pelbagai agensi seperti BNPB, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), tentera, polis dan agensi lain yang berkaitan, dikerahkan ke kawasan kejadian.

Gempa bumi kuat berukuran 6.2 Skala Richter, berpusat di 6km Timur Laut-Majene-Sulawesi Barat, pada kedalaman 10km berlaku di Sulawesi Barat, Indonesia, awal pagi tadi, dikhuatiri mengorbankan ramai mangsa berikutan berlakunya runtuhan rumah dan bangunan serta kejadian tanah runtuh.

Menurut BNPB dalam satu kenyataan setakat pukul 11 pagi tadi, lebih 600 cedera, ratusan rumah dan bangunan termasuk Rumah Sakit (hospital) Mitra Manakarra Mamuju runtuh, manakala lebih 15,000 penduduk kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah Sulawesi Barat Darno Majid dalam satu kenyataan di televisyen tempatan berkata sehingga 12 tengah hari ini, 16 orang ditemukan terkorban dan pasukan mencari dan menyelamat masih mengesan mereka yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.

"Bekalan elektrik terputus di Majene dan Mamuju, jaringan komunikasi juga tidak stabil," katanya.

- Bernama