Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes audit 1MDB Najib minggu depan ditangguh kerana PKP

Susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini, perbicaraan berkaitan laporan audit 1MDB melibatkan Najib Razak yang seharusnya berlangsung minggu depan ditangguh.

Pelaksanaan PKP merangkumi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Perintah itu dijadual tamat pada 26 Januari.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib hari ini mengesahkan penangguhan itu.

"Perbicaraan audit 1MDB Najib untuk minggu depan telah ditangguh kerana PKP.

"Ini bererti tarikh perbicaraan pada hari Isnin hingga Khamis minggu depan telah ditangguhkan," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi hari ini, peguam bela Najib, Nur Syahirah Hanapiah juga mengesahkan perkara sama.

"Perbicaraan bermula 18 hingga 21 Januari telah dikosongkan kerana PKP," katanya.

Dia menambah ini kerana ada arahan dari badan kehakiman bahawa perbicaraan jenayah akan ditangguhkan sepanjang PKP.

Pada 11 Januari, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan sebagai langkah menangani lonjakan kes Covid-19.

Negeri dan wilayah persekutuan yang diletakkan di bawah PKP adalah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perbicaraan laporan audit 1MDB Najib pada awalnya ditetapkan untuk bersidang semula pada awal Disember tahun lalu, tetapi ditangguhkan ketika Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghadiri sesi Dewan Rakyat.

Perbicaraan akan disambung semula pada 22 Februari.

Najib dibicarakan kerana didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk memerintahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB yang telah "dimuktamadkan" oleh Ketua Audit Negara, sebelum "dimuktamadkan lagi" dan disampaikan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam ( PAC), untuk mengelakkan tindakan diambil terhadapnya.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB K Arul Kanda juga dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan tersebut.