Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahathir: Apa saya peduli dengan legasi?

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempedulikan sebarang legasi yang dikaitkan dengan dirinya. Baginya, semua itu tidak penting.

"Apa saya peduli (dengan) legasi, saya tak kisah.

"Saya yakin apabila saya mati (nanti), ramai akan memburuk-burukkan saya, dan berkata bermacam-macam.

"Ia (legasi) tidak penting (kerana) saya akan mati, legasi apa?" katanya ketika ditanya apa yang diharapkannya akan menjadi legasi dirinya semasa dalam temu bual dengan stesen radio BFM89.9 pagi ini.

Mahathir melakar sejarah sebagai perdana menteri paling tua lama berkhidmat ketika memimpin Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, dua bulan sebelum ulang tahunnya yang ke-93.

Kemenangan itu juga menyaksikan kekalahan pilihan raya pertama buat BN sejak kemerdekaan.

Sebelum pilihan raya itu, Mahathir meninggalkan Umno sebagai protes terhadap skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang parti nasionalis Melayu tersebut.

Dia kembali berpolitik setelah 15 tahun bersara sebagai perdana menteri, yang mencatatkan rekod 22 tahun.

Namun, pentadbiran kali kedua Mahathir berlangsung hanya 22 bulan setelah dia mengundurkan diri secara tiba-tiba pada 24 Februari 2020. Bersatu kemudian berpaling tadah dan menikam Pakatan Harapan, sehingga tumbangnya kerajaan yang memerintah.

Ahli Parlimen Langkawi itu kemudian disingkirkan dari Bersatu tetapi kemudiannya menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air.

Selain peletakkan jawatannya, Mahathir juga menjadi berita utama antarabangsa tahun lalu ketika dia menulis bahawa "Umat Islam berhak untuk marah dan membunuh jutaan rakyat Perancis kerana penyembelihan di masa lampau".

Dia dikutuk di seluruh dunia dan bahkan Twitter mengeluarkan ciapannya yang didakwa menyinggung perasaan setelah pada awalnya dilabelkan sebagai memuliakan keganasan.

Komen itu, ditulis sebagai sebahagian daripada catatan blog yang lebih panjang, adalah sebagai tindak balas terhadap kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai Islam setelah seorang guru sekolah menengah Perancis yang memaparkan kartun Nabi Muhammad yang dianggap menghina kepada muridnya dibunuh dengan kejam.

Mahathir kemudian berkata, bahawa komennya telah disalahtafsirkan dan dibaca di luar konteks.

Awal tahun ini, komen itu menyaksikan dirinya berada dalam senarai "20 Ekstremis Paling Berbahaya di Seluruh Dunia" oleh NGO Counter Extremism Project yang berpusat di Amerika Syarikat.

Ditanya mengenai senarai itu, Mahathir mempertahankan komennya sebagai selaras dengan undang-undang syariah tetapi menafikan label "pengganas".

"Tercatat di sana - mata untuk mata. Jika kamu membunuh seseorang, maka kamu harus dibunuh. Itu undang-undang dalam Islam, saya hanya memetik undang-undang [...] bagi orang Islam, itu adalah undang-undang Syariah, "katanya.

"Mereka kata saya membenci Barat (kerana) saya kecam mereka kerana menyokong orang Yahudi walaupun orang Yahudi melakukan kesalahan. Kerana itu, Barat tidak menyukai saya. Tidak ada orang lain yang mengatakannya tetapi saya mengatakannya. Malah di PBB, saya juga kata bahawa 'kamu tidak adil'.

"Mereka berusaha mencari sesuatu untuk melabel saya dan mereka label saya sebagai pengganas.

“Ketika orang seperti (Tony) Blair, orang seperti (George W) Bush mengisytiharkan perang terhadap Iraq (dan) hari ini (lihat) apa yang berlaku di Iraq? Mereka adalah pengganas, bukan saya. Saya tidak bunuh seorang pun,” jelas Mahathir.