Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan akan batal lesen AP syarikat bersekongkol kartel daging

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan membatalkan lesen pemegang Permit Import (AP) yang didapati bersekongkol dengan kartel daging import haram, kata Menterinya Dr Ronald Kiandee.

“Sekiranya ada pemegang AP terlibat, kita tidak teragak-agak membatalkan lesen pemegang AP berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas tindakan terhadap pemegang AP yang terlibat dengan kartel daging import.

Dia yang ditemui selepas melancarkan Kalam Anti Rasuah Mafi (Karma 2021-2025) di kementeriannya di Putrajaya hari ini, berkata siasatan menyeluruh berhubung kartel daging import haram itu sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya sebagai menteri di kementerian ini tidak melindungi mana-mana warga kementerian yang terlibat… kita inginkan suatu siasatan mendalam bagi menangani isu ini secara dekat agar masalah ini dapat kita rungkaikan,” katanya.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor kerana disyaki terbabit dalam rasuah berhubung aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pada 2 Dis lalu, Maqis membongkar kegiatan kartel itu yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

-Bernama