Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keputusan kes hina mahkamah terhadap Mkini Jumaat ini

Mahkamah Persekutuan akan memberikan penghakiman terhadap pertuduhn menghina mahkamah ke atas Malaysiakini pada Jumaat ini.

Dalam surat kepada peguam Malaysiakini, Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee memaklumkan mahkamah akan menyatakan penghakimannya pada jam sembilan pagi, 15 Januari.

Mahkamah berbuat demikian pada 10 November tahun lalu, tetapi ditangguhkan berikutan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 akhir tahun lalu.

Tidak pasti sama ada penghakiman akan ditangguhkan sekali lagi jika PKPB diketatkan pada minggu ini.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf menyelesaikan perbicaraan kes itu kira-kira enam bulan yang lalu.

Pada 13 Julai, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan kes itu yang difailkan Peguam Negara Idrus Harun terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan.

Rohana berkata panel hakim memerlukan masa untuk meneliti kes itu.

Selain Rohana, enam anggota panel hakim lain ialah Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Azahar Mohamed; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

Ketika perbicaraan, peguam Malaysiakini antaranya berhujah bahawa hasrat sebenar untuk menerbitkan komen yang dianggap menghina mesti dibuktikan untuk menyebabkan penghinaan, kata peguam.

Menurut Malik, dengan menunjukkan penerbitan sahaja ia tidak mengundang penghinaan.

"Ini mesti disiarkan secara sengaja, mesti ada niat untuk menerbitkan bahan skandal itu.

"Kemudahan semata-mata (dengan menyediakan bahagian komen) untuk menghantar komen tidak cukup untuk menarik tanggungjawab undang-undang," katanya.

Dia berkata jika hanya kemudahan ruang yang diperlukan untuk mendakwa kes menghina mahkamah, maka kehakiman akan sibuk dengan kes-kes yang melibatkan banyak syarikat atas pertuduhan itu.

Idrus Harun

Katanya lagi, ia kemudian akan membawa kesan antaranya dari segi pelaksanaan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, peguam kanan persekutuan S Narkunavathy, yang mewakili peguam negara, berpendapat tidak ada syarat dalam undang-undang untuk menunjukkan bahawa Malaysiakini mempunyai niat untuk menerbitkan komen yang menghina kehakiman.

"Mereka menyediakan platform, mereka membenarkannya (diterbitkan)," kata Narkunavathy.

Peguam Negara Idrus Harun telah memulakan prosiding penghinaan pada bulan Jun atas komen lima pembaca dalam laporan berita Malaysiakini, yang sejak itu telah dihapuskan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak untuk tidak membuat sebarang komen mengenai perkara tersebut - yang telah menarik perhatian pelbagai organisasi, baik di Malaysia dan di luar negara.

Selain Malik, Malaysiakini dan Gan diwakili oleh Surendra dan Khoo Suk Chyi, sementara Idrus diwakili oleh peguam kanan persekutuan Narkunavathy dan Suzana Atan.

Antara organisasi yang menjadi pemerhati perbicaraan itu ialah Majlis Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).