Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKR tubuh biro profesional muda, terima 26 penyertaan

Pemuda PKR (AMK) menubuhkan biro profesional muda AMK Malaysia, bagi meraikan penyertaan golongan profesional muda ke dalam parti berkenaan.

Dalam satu majlis di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, seramai 26 orang golongan profesional muda diraikan bagi menyertai parti serta biro berkenaan, terdiri daripada jurutera, akauntan, jururunding, pensyarah, peguam dan sebagainya.

Majlis itu dihadiri Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar,

Kata Akmal dalam ucapannya, biro itu penting untuk menjadi wadah buat golongan profesional muda terlibat dalam politik dan keputusan penting di peringkat negara dan parti.

Malah, ketika ditanya pemberita soal politik PKR, Akmal tetap menekankan kepentingan golongan profesional muda dalam jawapannya.

Dia sebelum itu ditanya apakah AMK akan membantah jika ada ahli parlimen kerajaan yang terlibat perbicaraan kes rasuah menyokong PH, sesuai dengan kenyataan Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk kerajaan, asalkan menghormati prinsip menolak rasuah, kronisme dan sebagainya.

"Sebab itu saya rasa, dalam isu sekarang kita tengok daripada kelangsungan profesional anak muda tadi. Jadi perbincangan hari ini memang kami lihat dari kerangka yang besar.

"Berbalik soal prinsip, kita kena pegang dengan prinsip.

"Jadi tanggungjawab saya adalah memastikan anak muda ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan Covid-19 belum selesai," jawabnya yang turut menekankan kepentingan vaksin.

Ditanya mengenai sokongan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin susulan pengumuman penarikan sokongan oleh Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub, Akmal menjawab kerajaan patut fokus isu sebenar, iaitu soal prosedur operasi standard (SOP).

"Kerajaan patut tumpu kepada soal SOP dan juga kelangsungan ekonomi ini sebab kesannya sangat teruk.

"Kalau anda bertanya membuat libat urus dengan pemain industri, mereka sekarang ini menjerit mengharapkan kerajaan fokus kepada isu yang sebenar," katanya.

Pengumuman Ahmad Jazlan semalam meletakkan kerajaan PN hanya memperoleh sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi, namun dua daripadanya kosong disebabkan kematian penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sebelum ini seorang lagi ahli parlimen dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan pendirian tidak menyokong kerajaan Muhyiddin namun belum menzahirkan tentangan terhadap kerajaan melalui mana-mana undian di Dewan Rakyat.

Namun, PN kekal buat masa ini kerana masih menjadi blok terbesar di Parlimen.