Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Angka kematian akibat Covid-19 di Selangor meningkat

Selangor mencatatkan sejumlah 72 kematian berkaitan Covid-19, di mana dua pertiga kematian berlaku sejak 1 Disember lalu.

Jumlah kematian di Selangor meningkat antara bulan Jun dan November sebelum meningkat secara mendadak pada bulan Disember.

Tidak seperti Sabah, hanya sebilangan kecil kes kematian Covid-19 di Selangor (dua kes) melibatkan warga asing. Purata umur mangsa adalah sekitar 66 tahun manakala nisbah lelaki dan wanita pula adalah sekitar 2 nisbah 1.

Hari ini menyaksikan sembilan kematian dilaporkan di negeri ini, hanya sehari setelah 33 kes jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) dilaporkan.

Pesakit dengan gejala Covid-19, termasuk Sari, lebih cenderung mengalami komplikasi berbanding kebanyakan mereka yang menghidap Covid-19 tetapi tanpa gejala.

Berdasarkan angka dari Jabatan Kesihatan Selangor, jumlah pesakit Covid-19 yang bergejala meningkat secara berterusan sejak Disember dan mencapai 118 orang hari ini.

Ini dipercayai merupakan rekod baru.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berulang kali menyatakan bahawa pesakit Covid-19 berisiko paling tinggi menjangkiti orang lain antara tiga hari sebelum mengalami gejala dan tujuh hari setelah mengalami gejala. 

Jabatan Kesihatan Selangor tidak mengeluarkan data berapa ramai individu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau yang memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun dari laporan terbaru Kementerian Kesihatan hari ini, pesakit yang berada dalam ICU atau memerlukan bantuan pernafasan berada pada tahap tinggi.