Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kucing turut berlindung di pusat pemindahan

Selain tugas utama untuk menyelamatkan penduduk yang terjejas dengan banjir, anggota keselamatan di Kelantan tidak melupakan keadaan haiwan yang turut menjadi mangsa bencana yang sedang melanda negeri itu.

Di Kampung Kenor, Kuala Krai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan 31 ekor kucing peliharaan sebuah keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari ini untuk memindahkan mangsa banjir.

"Mereka terdiri daripada dua keluarga dan sekumpulan 31 ekor kucing peliharaan yang perlu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman dinaiki air.

"Dalam operasi melibatkan dua pegawai dan lapan anggota ini mangsa juga terdiri daripada lima wanita dan seorang bayi.

"Kita membawa keluar mangsa bersama kucing tersebut menggunakan sebuah bot dan dihantar ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai," katanya.

Sementara itu di Kampung Kampung Parit, Rantau Panjang, sebuah keluarga yang turut menjadi mangsa banjir meminta pasukan penyelamat agar seekor kucing mereka turut dibenarkan dibawa ke PPS.

Dalam operasi penyelamat yang turut disertai Malaysiakini itu, Nurisa Din, 37, bersama suami dan enam anak mereka tidak menyangka air naik secara mendadak dan hampir menenggelami rumah mereka.

"Air mula naik dengan cepat sekitar jam sepuluh pagi menyebabkan kami tidak sempat untuk membuat persiapan.

"Jadi kami terpaksa menghubungi pihak penyelamat dan bertahan. Mujur bahagian dapur rumah agak tinggi namun terpaksa berendam dengan paras air pada ketinggian pinggang orang dewasa," katanya ketika ditemui.

Nurisa berkata, dia memohon kepada pasukan keselamatan untuk turut membawa seekor kucing peliharaan mereka.

"Rasa lega bila dibenarkan, sebab ini kucing peliharaan anak saya. Memang tak tergamak nak tinggalkan dalam keadaan begini," jelasnya dengan nada gembira.