Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Siasah untuk selamatkan negara, bukan selamatkan penjenayah'

Ketika suhu politik negara masih kekal panas dan kedudukan kerajaan kekal tidak menentu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin 'mencelah' untuk memberikan pandangannya.

Dia yang memang terkenal sebagai tokoh yang kadang-kadang lantang terhadap kerajaan berkata seseorang yang terlibat dalam siasah (politik) perlu mempunyai matlamat tertentu.

Kata Mohd Asri matlamat itu ialah untuk menyelamatkan negara, rakyat dan ummah.

Menggunakan perkataan arab yang bermaksud mentadbir atau memimpin, Mohd Asri sebaliknya memberitahu bahawa siasah bukanlah bertujuan untuk menyelamatkan penjenayah.

“Kita tidak boleh bersiasah untuk menyelamatkan penjenayah,” ciapnya yang mutakhir ini menjadi salah seorang pengkritik Pakatan Harapan (PH).

Meskipun tidak mengulas lanjut mahupun merujuk kepada mana-mana pihak, ciapan Mohd Asri itu dipercayai ada kaitan dengan perkembangan semasa dalam negara.

Ia berlaku sehari selepas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan sokongan bertulis kepada Pengerusi PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Ramai sedang didakwa

Sebelum ini antara nama yang dikaitkan dengan mengalih sokongan kepada Anwar ialah bekas perdana menteri Najib Razak yang sudah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Namun kes itu masih di peringkat rayuan.

Selain Najib turut dibicarakan ialah Ahmad Zahid sendiri, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abd Rahim.

Pada masa sama ada pemimpin PH juga sedang dibicarakan. Misalnya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. 

Ciapan Mohd Asri itu kemudian mendapat pelbagai reaksi dari warganet yang rata-ratanya membalas dengan komen negatif atau sinis.

Antaranya, Twitter @Md_Shazlan yang bertanya mengenai pertemuan Mohd Asri bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika PN baru dibentuk.

“Salam tuan, tuan betul-betul faham ke dengan apa yang tuan tweet ni? Bukankah dahulu Muhyiddin bersekongkol dengan puak yang sama untuk menjatuhkan kerajaan PH?” soalnya.

@MashizakiKeikan pula berkata; “Ya, atas dasar itu tuan mufti menyokong pembentukan kerajaan PN yang di dalamnya ada ramai penjenayah yang sedang didakwa. Ironi ye?” ciapnya.

Pada 1 Mac tahun lalu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri Malaysia yang kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad melalui Langkah Sheraton pada akhir Feb lalu.

Ia kemudian membentuk kerajaan PN yang terdiri daripada Bersatu, bekas wakil rakyat PKR yang memihak kepada Mohamed Azmin Ali, BN, PAS dan disokong Gabungan Parti Sarawak.

Pada awal Mac tahun lalu, Mohd Asri juga memuat naik di media sosial pertemuannya dengan Muhyiddin dan memaklumkan inti pati perbualan makan malam di kediaman presiden Bersatu itu.

Menurut Mohd Asri, dalam pertemuan itu dia dimaklumkan barisan baru menteri dalam kerajaan PN hanya terdiri dari individu yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Sementara itu, antara komen lain di Twitter @farhanzulkefly mempersoalkan tindakan Mohd Asri sewaktu pembentukan PN.

“Itu yang Muhyiddin buatkan Feb 2020 hari tu? Dr Maza okay je kan masa tu?” soalnya.

Seorang lagi pembalas ciapan itu, @gibaok25, mempersoalkan: “Jenayah dan rasuah perlu dibanteras sampai akar umbi, dah selesaikah masalah tu dalam parti siasah sedia ada ni, yang sokong pulak ada ilmuan agama, itu untuk rakyat ke?”

@Edie57929225 pula berkata: “Perasuah tu kira penjenayah ke dok? Bukan apa aku takut mufti ni dulu lain kategorinya, sekarang ni lain pulak..”

Antara lain mempertikaikan kerjasama PAS dan Umno @nazryabdsani dengan bertanya; “Macam @PASPusat kahwin dengan Umno tu, tak dikira untuk menyelamatkan penjenayah ke?”