Umno lalui jalan mati, kata Jazlan
Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub menggambarkan Umno melalui jalan mati dan mendakwa parti itu seperti terikat dengan permainan pihak tertentu.
Menyorot semula kejatuhan Umno pada pilihan raya umum ke-14 ketika dijatuhkan Pakatan Harapan (PH) - sebelum ini terdiri daripada Bersatu, PKR dan DAP - dia menyarankan Umno menetapkan hala tujunya.
“Mengapa harus kita mengikat diri kita yang akan membunuh diri sendiri atau kita akan dibunuh?
“Adakah dengan keadaan sekarang Umno akan jadi lebih kuat?
“Jawabnya kita mesti buat pilihan jalan mana mesti dilalui demi meletakkan Umno kembali di atas walaupun terpaksa mengambil sedikit masa kerana jalan yang kita lalui sekarang adalah jalan mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 4 Januari, Ahmad Jazlan yang juga ahli parlimen Machang menggesa Perikatan Nasional (PN) membubarkan parlimen pada bulan ini atau dia akan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
Sehari selepas itu, dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ia dilihat sebagai langkah drastik memandangkan Jazlan pada mulanya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada PN.
Pada masa sama, Ahmad Jazlan mengingatkan bahawa Umno tidak mampu untuk bersendirian tanpa mana-mana gabungan.
“Mengapa Umno perlu terlalu terikat? PRU lepas Umno ditolak oleh gabungan mana? Bukankah oleh gabungan Bersatu yang bersama dengan DAP dan PKR?
“Kita telah terjebak dengan mainan kononnya rakyat akan tolak kita kalau bersama orang itu dan ini.
“Habis Umno nak bersama siapa? Bersendirian kita tak mampu. Terus bersama Bersatu yang nak matikan kita? Adakah kita boleh jamin rakyat suka dengan kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Bersatu?” soalnya.
Dia turut berkata ketika parti itu mengambil keputusan untuk menyertai gabungan kerajaan, Umno telah memberikan pelbagai alasan seperti tiada sumber kewangan untuk bergerak selepas kalah dalam PRU14.
“Sekarang kita ada duitkah untuk bergerak? Duit Umno pun masih tak dilepaskan semuanya, sedangkan dah jelas duit itu adalah duit parti yang tiada kaitan dengan 1MDB,” katanya.
Selain itu dia juga berkata Umno tidak mendapat sebarang perubahan atau manfaat berbanding sebelum dan selepas menyertai kerajaan.
Antaranya seperti kesulitan mencari tempat untuk mesyuarat perwakilan sehingga ada yang perlu mengadakannya di bawah khemah dan tiada jabatan kerajaan yang memberikan mereka laluan untuk menganjurkan program.
Untuk rekod, Bersatu dan Umno kembali berdepan dengan pergolakan, antaranya dengan 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.
Namun, bekas setiausaha Umno, Annuar Musa semalam berkata dia dimaklumkan bahawa 99 bahagian secara rasminya membuat usul sedemikian untuk terus menolak Bersatu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai