Bekas CEO: 1MDB ditubuh untuk salur wang kepada syarikat berkaitan Umno
KES 1MDB | Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman berkata syarikat itu ditubuhkan untuk menyalurkan wang kepada syarikat berkaitan Umno.
Hazem yang menjadi saksi pendakwaan kesepuluh berkata demikian ketika pemeriksaan balas perbicaraan kes rasuah 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Dia mendakwa dana daripada 1MDB digunakan untuk membantu kontraktor yang ada kaitan dengan parti itu dalam projek mega Tun Razak Exchange (TRX).
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam Muhammad Shafee Abdullah.
Soalan Shafee berkenaan bahagian dalam pernyataan saksi yang mana Hazem mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, memberitahunya yang syarikat itu ditubuhkan untuk membantu Umno.
Shafee: Berkenaan soal (dakwaan 1MDB ditubuhkan) untuk manfaat Umno, di mana anda mendengarnya?
Hazem: Dengarnya daripada Jho Low.
Shafee: Jho Low beritahu anda yang wang ini dan bagaimana ia disalurkan (daripada 1MDB) kepada pelbagai projek adalah untuk manfaat Umno?
Hazem: Ya.
Shafee: Bila dia kata demikian?
Hazem: Sebelum saya sertai 1MDB.
Hazem menyertai 1MDB sebagai ketua pegawai operasi pada 2012 dan dilantik sebagai CEO pada 2013.
Shafee: Takrifan anda ialah sejajar dengan undang-undang, lelaki ini (Jho Low, mendakwa 1MDB) membantu Umno, bahawa kontrak untuk TRX diberi kepada syarikat berkaitan Umno?
Hazem: Ya.
Shafee: Melihat kembali, anda setuju yang anda lihat wang mengalir keluar dari 1MDB telah merugikan 1MDB?
Hazem: Ya.
Ketika perbicaraan hari ini, Hazem turut memberitahu mahkamah yang Najib adalah bos tertingginya (ultimate bos).
Dia juga berkata yang jika dia tahu tentang apa yang didakwa berlaku dalam 1MDB pada masa itu, dia tidak akan menerima tawaran untuk menjadi CEO.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas, Hazem mengaku yang ketika dia berada dalam syarikat itu pada 2012 hingga 2015, dia tidak melihat bukti khusus berkenaan wang 1MDB disalurkan kepada Umno.
Shafee: Anda pernah lihat apa-apa bukti yang wang ini pergi kepada Umno?
Hazem: Ketika saya di sana, tidak.
Shafee: Anda cuba pastikan bagaimana Umno dapat manfaat?
Hazem: Tidak.
Shafee: Anda ada lihat kontrak diberikan kepada Umno?
Hazem: Tidak.
Shafee: Saya katakan yang Jho Low telah memberi gambaran yang salah seluruhnya kepada anda kerana anda tak dapat sahkan kebenaran apa yang dikatakannnya?
Hazem: Boleh jadi.
Shafee: Melihat kembali, anda dapat lihat yang Jho Low dapat manfaat besar dan kini menyembunyikan diri?
Hazem: Ya.
Shafee: Anda lihat dengan jelas sekarang yang ini perancangan Jho Low?
Hazem: Dia adalah dalangnya.
Hazem berkata walaupun bimbang dengan dakwaan penyaluran wang 1MDB untuk membantu Umno, dia tidak cuba untuk mendapatkan pengesahan secara terus daripada Najib.
Katanya lagi, dia juga tidak cuba untuk mengaturkan pertemuan dengan Azlin Alias - ketua setiausaha sulit Najib pada masa itu - dan pengerusi 1MDB ketika itu, Lodin Wok Kamaruddin.
Shafee: Tiada siapa yang anda tahu bercakap secara terus dengan (bekas) perdana menteri dan berterus-terang (tentang perkara ini)?
Hazem: Setakat pengetahuan saya, daripada pasaran, 1MDB, media, dan kedudukan Najib sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab terhadap 1MDB, dapat tahu sesuatu sedang berlaku. Isu ini dibangkitkan di Parlimen.
Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pagi esok.
Najib didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai