Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Indonesia beri vaksin 13 Jan, Jokowi terima suntikan pertama

GLOBAL | Indonesia akan memulakan program vaksinasi Covid-19 di seluruh negara pada 13 Januari ini, kata menteri kesihatan negara itu pada Selasa, ketika negara keempat terpadat di dunia itu mengalami wabak koronavirus terburuk di Asia Tenggara.

Program itu akan dilancarkan di Jakarta, dengan Presiden Joko Widodo diberi suntikan pertama, kata Budi Gunadi Sadikin dalam satu kenyataan, manakala vaksinasi di wilayah lain akan dimulakan dalam dua hari berikutnya.

Pemerintah Indonesia sebelum ini mengatakan 1.3 juta petugas barisan hadapan adalah kumpulan pertama menerima vaksin yang dihasilkan China, Sinovac Biotech. Indonesia telah menerima 3 juta dos vaksin Sinovac, yang diberi nama CoronaVac.

Selepas petugas kesihatan, gabenor daerah akan menerima suntikan vaksin "untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat," kata Budi, lapor Reuters.

Pengumuman itu dibuat sebelum agensi makanan dan ubat negara (BPOM) memberikan kelulusan kecemasan untuk membolehkan suntikan dimulakan.

Sinovac, bersama dengan syarikat pengelaur ubat milik Indonesia, Bio Farma mengawasi ujian klinikal tahap akhir di wilayah Jawa Barat.

Keputusan awal daripada ujian peringkat akhir CoronaVac menunjukkan ia 91.25 peratus berkesan, sementara para penyelidik di Brazil mengatakan lebih daripada 50 peratus berkesan, walaupun keputusan penuh belum dapat dikeluarkan atas permintaan syarikat.

Budi sebelum ini berkata Indonesia perlu menyuntik 181.5 juta orang, atau sekitar 67 peratus daripada populasi.