Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MCA: 'Air banyak sampai banjir, tapi Selangor tak ada air'

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor Ng Chok Sin, menempelak kerajaan Selangor dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) atas gangguan bekalan air terbaru yang terjadi dua hari lalu kerana banjir.

Merujuk gangguan bekalan air pada 3 Jan yang memberi kesan kepada lapan kawasan ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek disebabkan kenaikan air ke paras kritikal gara-gara banjir, katanya, jika beberapa bulan lalu gangguan air tak berjadual menjadi masalah “bulanan”, kini ia sudah menjadi masalah “mingguan”.

“Hujan lebat beberapa hari ni, terutamanya semalaman dari 2 ke 3 Jan 2021. Walaupun dengan hujan lebat sehingga banjir, ada kawasan di Selangor berdepan gangguan bekalan air tak berjadual disebabkan banjir! Ironik sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LRA Sungai Selisek beroperasi semula semalam.

Tambah Ng, setelah gangguan demi gangguan di negeri itu, Pakatan Harapan (PH) kerajaan negeri Selangor harus dipertanggungjawabkan.

“Apabila musim panas menyebabkan rizab air berkurangan, kerajaan negeri Selangor PH mengenakan catuan air pada masa lalu. Sekarang musim monsun, bekalan air juga dipotong tanpa makluman awal.

“Jangan lupa apabila sumber air sungai di Rawang dicemar oleh kilang haram pada Sep, Okt, dan Nov 2020 atau paip yang selalu pecah, menyebabkan gangguan air.

“Semua insiden ini menampakkan yang pihak berkuasa air di negeri Selangor, iaitu Air Selangor dan PH (selaku) kerajaan negeri tidak mempunyai mekanisme untuk mencegah, atau setidak-tidaknya, menangani krisis air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hal itu katanya menjadikan penduduk dan sektor komersil di Lembah Klang sebagai mangsa, khususnya perusahaan kecil seperti kopitiam, salon rambut, pusat kesihatan, dobi dan sebagainya.

Katanya, kerajaan negeri harus menjelaskan ke mana perginya peruntukan negeri bagi menangani masalah air, membaiki atau menambah baik paip lama dan isu-isu air lain.

“(Memandangkan) semua langkah berdepan kegagalan, sudah sampai masa untuk menyingkirkan PH (selaku) kerajaan negeri Selangor yang gagal menangani masalah air berpanjangan meskipun berjuta ringgit telah dihabiskan,” katanya lagi.

Selangor berdepan siri gangguan bekalan air tidak berjadual sepanjang beberapa bulan lalu, antaranya kerana pencemaran seperti pencemaran bau dan kerosakan seperti paip pecah.

Semalam, Anggota Parlimen Wangsa Maju dari PH Tan Yee Kew mahu mengetuai 750 pengguna untuk memfailkan tuntutan saman terhadap kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR, kerajaan persekutuan dan beberapa pihak lagi atas gangguan air akibat pencemaran di sungai utama di Lembah Klang.

Dia akan memfailkan tuntutan itu di mahkamah pada minggu depan.