Bicara kes Najib sambung lepas tangguh hampir 4 bulan
Setelah hampir empat bulan ditangguhkan, perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula di Mahkamah Tinggi pagi ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung dengan saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman akan disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan.
Mohd Hazem, 47, mula memberi keterangan pada 14 Sept tahun lalu.
Najib, 67, didakwa terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Mahkamah menetapkan tarikh-tarikh berikut untuk perbicaraan kes itu:
4 hingga 7 Jan, 25 - 27 Jan; 2 hingga 4 Feb, 8 - 11 Feb, 15 - 18 Feb; 5 - 8 April, 19 - 22 April, 26 - 28 April; 3 - 6 Mei, 17 - 20 Mei, 24 - 27 Mei; 1 - 3 Jun, 8 - 10 Jun, 21 - 24 Jun, 28 - 30 Jun dan 5 - 8 Julai.
Sebelum ini, petugas media dikehendaki mengambil pas khas untuk memasuki mahkamah terbuka dan dua bilik video yang dikenali sebagai ‘video link’ yang memaparkan perbicaraan secara langsung.
Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 Mac tahun lalu, pihak pengurusan mahkamah mengehadkan jumlah media bagi mahkamah terbuka dan bilik video kepada masing-masing 10 orang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai