Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kakak rayu bantu biaya kos perubatan adik di hospital Korea Selatan

Seorang kakak yang hanya merupakan suri rumah memohon bantuan untuk membiayai kos perubatan adiknya yang sebelum ini terlantar sakit di Hospital Cheongju dan kini telah dipindahkan ke Hospital Cheonan di Korea Selatan.

Anis Baharin, 49, berkata adiknya, Narol Amzah Baharin, 42, disahkan menghidap penyakit paru-paru kronik sehingga menyebabkan dia tidak mampu bergerak dan berada dalam keadaan separa sedar di hospital terbabit sejak 30 Disember 2020.

Jelas Anis, dia dan keluarganya di Malaysia kini buntu dan tidak tahu cara untuk membiayai kos perubatan adiknya yang tinggi.

“Narol kini dijaga oleh kawannya dan juga rakan sekerja yang ada di sana, dia mula mengadu demam panas dan sesak nafas sejak bulan lalu (Disember 2020).

“Kami juga ada berhubungan dengan pihak kedutaan Korea Selatan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mereka juga tidak galakkan kami ke sana susulan kes Covid-19 yang meningkat.

“Namun pihak kedutaan beritahu mereka akan bantu bawa pulang Narol sekiranya mendapat pengesahan dari doktor di sana yang Narol sudah selamat untuk dibawa (pulang ke Malaysia).

“Susulan itu kami sedang mengumpul dana untuk menyelesaikan bayaran di hospital di Korea dan membawa pulang Narol kembali ke Malaysia bersama kami,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jelas Anis, jumlah yang diperlukan untuk membiayai kos Narol di hospital tersebut adalah lebih RM30,000.

Anis juga menambah, Narol telah bekerja di sebuah kilang sayur-sayuran di Korea Selatan sejak setahun lalu.

Selain itu, Anis juga berharap orang awam dapat membantunya dalam usaha untuk membawa pulang adiknya.

“Saya kini sedang berusaha untuk mengumpul dana dan berharap sangat rakyat boleh bantu kami dalam kesusahan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai atau pihak berkaitan yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Anis di talian 014-729 9280.