Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tajuddin 'syak' CEO Prasarana digantung tugas dalang serangan terhadapnya

Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman hari ini membuka mulut berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Dia membayangkan "serangan" terhadapnya mungkin didalangi seorang pegawai tinggi syarikat yang kini digantung tugas buat sementara.

Tajuddin berkata, dia memilih untuk berdiam diri berhubung spekulasi sekitar status Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Muhammad Nizam Alias, tetapi kini perlu menjelaskan beberapa perkara.

Dalam sidang media hari ini, Tajuddin mengesahkan lembaga pengarah Prasarana pada 27 Nov lalu memutuskan untuk Nizam mengambil cuti susulan dakwaan salah laku dan keingkaran (insubordination).

Katanya, lembaga pengarah turut mengarahkan ketua modal insan syarikat untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Nizam dan surat balasan Nizam telah dibawa ke lembaga pengarah.

"Keputusan (yang diambil) ialah untuk berlaku adil kepadanya dan mengikuti prosedur dalaman di mana lembaga pengarah buat keputusan untuk tubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada tiga ahli lembaga pengarah, untuk kaji tuduhan dan jawapan balasnya.

"Ia baru ditubuhkan dan saya yakin jawatankuasa akan menelitinya. Itulah kedudukan dia sekarang," katanya.

Dia juga berkata Nizam masih dmendapat gaji walaupun digantung tugas pada masa ini.

"Saya harap dia profesional...tetapi saya rasa dia telah melampau.

"Menggunakan media untuk menyerang saya dan Prasarana...ini tidak baik," katanya lagi.

Nizam Alias

Mengulas sejumlah laporan berita berkenaan perkara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berharap media yang membuat liputan dalam sidang media hari ini perlu melaporkan secara bertanggungjawab.

Dia pada mulanya bertanyakan identiti sumber yang dipetik media.

"Adakah anda cuba kata yang ada orang beri maklumat? Saya nak tahu siapa dia. Dedahkan sumber ini.

"Jadi bertanggungjawab, dedahkan sumber, kemudian saya akan jawab.

"Malaysiakini anda buat laporan, anda perlu bertanggungjawab terhadap sumber...tetapi tak apalah, saya akan bersangka baik," katanya sebelum menafikan laporan yang mendakwa dia ada peranan dalam penggantungan Nizam.

"Tak betul langsung, apa cadangan yang anda maksudkan?

"Saya atau lembaga pengarah enggan mendengar dia dan akibatnya kita ambil tindakan terhadapnya? Ini tak betul," katanya.

Pada 8 Dis lalu, portal The Vibes memetik sumber yang berkata penggantungan Nizam susulan ketegangan di peringkat kepimpinan selepas pelantikan Tajuddin sebagai pengerusi pada Mei lalu.

Pada masa itu, dilaporkan yang Ketua Pegawai Operasi Norlia Noah akan menjadi CEO kumpulan sementara, dan lebih banyak perubahan dalam kepimpinan dan pengurusan kanan syarikat akan dibuat.