Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KKM pertimbang pesakit Covid-19 tanpa gejala dikuarantin di rumah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan untuk untuk pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai gejala dikuarantin di rumah

memandangkan kapasiti pusat kuarantin hampir mencecah tahap maksimum 23,000.

Ketika ini, terdapat 22,089 kes aktif dan negara menyaksikan kes harian yang tinggi baru-baru ini.

Menurut Dr Noor Hisham Abdullah, dengan kes yang tinggi dicatat setiap hari, kapasiti katil hospital serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) adalah terhad.

"Kita lihat kes bertambah. Pusat kuarantin Tahap 1 dan 2 hampir cecah 89 hingga 90 peratus.

"Kita sedang perkemas kriteria-kriteria, setakat ini masih ada kelewatan dari segi petugas-petugas kesihatan untuk mengangkut atau hantar pesakit ke hospital.

"Jadi kemampuan hospital atau PKRC terhad. Pada masa ini kes 22,000, tapi kemampuan kita adalah 23,000. Dalam persiapan kita, sama ada kita boleh pertimbangkan 89 hingga 90 peratus kes lain, sama ada boleh diasingkan dan kuarantinkan di rumah," katanya.

Mengulas isu lain, Noor Hisham berkata pesakit yang masih positif setelah dikuarantin selama 10 hari akan dibenarkan pulang sekiranya kadar kebolehjangkitan mereka rendah.

"Dalam 10 hari, kita boleh membenarkan pesakit keluar hospital tanpa menjalani ujian (kedua) kerana yang penting adalah kadar kebolehjangkitan.

"Selepas 10 hari jika kadar kebolehjangkitan sangat rendah, maka kita dapat membenarkan pesakit pulang," katanya.

Noor Hisham berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan oleh beberapa pesakit yang mengatakan mereka dibenarkan pulang pada hari ke-10 tanpa menjalani ujian kali kedua.