Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

AMK S'gor: PH perlu diperkukuh ketika PN sedang bergolak

Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini ibarat retak menanti belah.

Ketuanya, Najwan Halimi berkata kemelut yang dihadapi PN ketika ini seharusnya dijadikan iktibar oleh Pakatan Harapan (PH).

"Perkembangan politik mutakhir kini menyaksikan bibit-bibit perpecahan yang ketara di antara Umno dan Bersatu.

"Ini jelas menunjukkan bahawa ikatan politik parti-parti yang mendukung kerajaan PN kini dalam keadaan retak menanti belah.

"Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi oleh pimpinan dan pendukung PH bahawa mana-mana kerjasama politik yang dibentuk menerusi muslihat, penipuan dan pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran yang memalukan," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Perkara itu, menurutnya, diputuskan dalam mesyuarat bahagian-bahagian itu semalam.

Hanya satu bahagian di Kelantan dan satu di Perlis bersedia mempertahankan kerjasama sedia ada, berdasarkan kenyataan pemimpin dari bahagian tersebut.

Laporan itu tidak menyebut secara khusus berkaitan pendirian Umno Putrajaya.

Semalam ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor mereka membuat ketetapan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Najwan berkata PKR, DAP dan Amanah perlu siap siaga untuk menghadapi PRU ke-15 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

"PH perlu bergerak secara lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial yang lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia, seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya di dalam PRU-15," katanya.