Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gimnasium di Lembah Klang rekod kes Covid-19, SOP tak perlu pelitup muka

Terbaru, jangkitan Covid-19 menular di gim dan pusat kecergasan ketika jumlah kes wabak itu terus meningkat di Lembah Klang.

Sejak seminggu lalu, sekurang-kurangnya sembilan syarikat kecergasan melaporkan kes di premis mereka di Kuala Lumpur dan Selangor yang melibatkan anggota, tenaga pengajar, atau kakitangan lain.

Semua gimnasium yang terjejas ditutup buat sementara waktu untuk kerja basmi kuman dan pengesanan kontak rapat.

Pusat kecergasan ini mengumumkan mengenai kes-kes tersebut di laman media sosial mereka.

Gimnasium berkenaan termasuklah, Union Strength (Hartamas), Tribe Boxing Studio (Mont Kiara and Tropicana), Flyproject (Intermark, The Curve, Verve Shops, DC Mall, and Kiara 163), Club Aloha (Sri Hartamas), Revelation Republic (Taman Sea), Ministry of Burn (Bukit Damansara), Hustle Lifestyle (Solaris Dutamas), Pwrhouse (Desa Sri Hartamas), dan Urban Spring Pilates (Bangsar).

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara mereka yang bersenam di luar atau di dalam bangunan tidak perlu memakai pelitup muka.

Menurut garis panduan Kementerian Kesihatan, walaupun tidak wajib memakai pelitup muka semasa bersenam, individu mesti memastikan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Bagaimanapun, sekarang ada bukti bahawa SOP jarak fizikal saja tidak cukup untuk mencegah jangkitan pada ruang tertutup dengan pengudaraan yang buruk.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat dalam garis panduan pada November lalu, berkata mereka yang bersenam bernafas dengan kuat, melepaskan lebih banyak aerosol ke udara yang mengandungi virus Covid-19 yang kemudian dapat menjangkiti orang lain yang tidak memakai pelitup muka di pusat kecergasan itu.

"Terdapat bukti dalam keadaan tertentu, orang dengan Covid-19 kelihatan telah menjangkiti orang lain yang jaraknya lebih dari enam kaki.

"Jangkitan ini berlaku dalam ruang tertutup yang tidak mempunyai pengudaraan yang tidak mencukupi.

"Kadang-kadang orang yang dijangkiti itu bernafas dengan kuat, misalnya ketika menyanyi atau bersenam," katanya.

Dikatakan dalam keadaan ini, jumlah titisan yang dihasilkan oleh orang yang dijangkiti dapat dikumpulkan dengan mencukupi untuk menyebarkan kepada mereka yang hadir pada masa yang sama atau tidak lama setelah orang yang dijangkiti itu pergi.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob untuk mengulas sekiranya kerajaan akan menyemak semula SOP berikutan kes baru-baru ini melibatkan pusat kecergasan.

Banyak jangkitan di pusat kecergasan sama

Di antara pusat kecergasan yang melaporkan kes di Lembah Klang, sekurang-kurangnya tiga premis telah melaporkan banyak jangkitan melibatkan anggota atau tenaga pengajar.

Revelation Republic di Taman Laut, Petaling Jaya, mengatakan tiga anggota gim itu positif Covid-19.

Orang pertama mempunyai kontak rapat dengan ahli keluarga yang dijangkiti manakala dua yang lain dikesan melalui pengesanan kontak rapat daripada kes pertama yang dikesan di gimnasium itu.

Club Aloha di Sri Hartamas pula melaporkan dua kes melibatkan seorang anggota dan seorang pengajar yang kedua-duanya menghadiri kelas pada 29 Disember.

Anggota itu menjalani ujian setelah pengajar tersebut positif Covid-19.

Flyproject, yang mempunyai premis di pelbagai lokasi di Lembah Klang, melaporkan sembilan pekerja dan dua anggotanya diuji positif Covid-19 pada 3 Januari.

Semua premis studio Flyproject akan ditutup sehingga 11 Januari.

Kluster di pusat kecergasan bukanlah perkara baru di dunia, dengan Korea Selatan pada bulan Februari melaporkan kluster yang melibatkan kelas tarian di kemudahan sukan.

Kes terkini di pusat kecergasan mungkin memberi tamparan kewangan kepada gimnasium di Lembah Klang kerana perniagaan seperti ini biasanya menambah jualan keahlian pada musim Tahun Baru.

Ini berlaku selepas kerugian akibat penutupan dati Mac hingga Jun lalu kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut tinjauan oleh AIA Vitality pada bulan Jun lalu, 45 peratus daripada 10,000 responden berkata mereka lebih banyak bersenam di rumah semasa PKP.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.