Mangsa banjir di Pahang, Johor, T'ganu lebih 10,000
Keadaan banjir di Pantai Timur melibatkan Pahang dan Terengganu memburuk malam tadi dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS), dilaporkan meningkat, manakala mangsa di Johor berkurangan sedikit berbanding petang tadi.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus meningkat malam ini kepada 3,979 orang daripada 1,223 keluarga berbanding 3,273 orang daripada 902 keluarga yang ditempatkan di PPS petang tadi.
Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 8 malam ini, sebanyak sembilan daerah di negeri itu terjejas membabitkan 91 PPS yang beroperasi.
Portal berkenaan memaklumkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,097 orang diikuti Jerantut (634 orang), Raub (597 orang), Maran (594 orang), Rompin (420 orang), Temerloh (306 orang), Lipis (183 orang), Bentong (95 orang) dan Pekan (53 orang).
Di Terengganu, mangsa banjir melibatkan Daerah Dungun dan Kemaman meningkat kepada 222 orang daripada 68 keluarga, berbanding 138 mangsa daripada 40 keluarga petang tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata di Dungun seramai 176 mangsa ditempatkan di dua PPS - Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serba Guna Kampung Shukor.
“Manakala di Kemaman seramai 46 mangsa dari 11 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Teladas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di Johor, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 6,391 orang daripada 1,641 keluarga berikutan tiga PPS di Johor Bahru, ditutup iaitu Dewan Komuniti Pandan, Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru Masai dan Surau Desa Makmur.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R Vidyananthan berkata, lapan daerah terjejas banjir setakat 8 malam ini dengan 60 PPS dibuka iaitu masing-masing dua di Pontian dan Batu Pahat; Kluang (19); Kota Tinggi (17); Johor Bahru (10); Kulai (lima); Mersing (empat) dan Segamat (satu).
Kluang mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 2,533 orang, diikuti Kota Tinggi (1,470 orang), Johor Bahru (1,432 orang), Kulai (581 orang), Mersing (311 orang), Batu Pahat (36 orang), Pontian (23 orang) dan Segamat (lima orang)
Sementara itu beliau berkata, empat laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Sungai Sayong di Jambatan Sungai Sayong, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Kota Tinggi, Jambatan Jalan Semangar dan Jalan Mawai Lama, juga di Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah, Johor Bahru yang ditutup berikutan jambatan runtuh.
“Di Kluang, Jalan Batu Pahat-Mersing di Ladang Pak Loh serta Jalan Batu Pahat-Kluang di Sekolah Menengah Kahang juga masih ditutup kepada kenderaan ringan. Manakala, Jalan Batu Pahat-Mersing di Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Hock Huat ditutup untuk semua kenderaan,“ katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai