Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penunggang motosikal maut lepas langgar jalan berlubang di KL

Seorang lelaki berusia 75 tahun terkorban dalam kemalangan motosikal yang dikaitkan dengan jalan berlubang.

The Star melaporkan bahawa lelaki itu, yang dikenali sebagai Ho Yan Yee, sedang menunggang di Jalan Tengah di Kuala Lumpur menuju ke Mid Valley awal pagi ini, ketika dia kehilangan kawalan motosikalnya.

"Kami diberitahu mengenai kemalangan itu pada pukul 7.30 pagi hari ini yang berlaku setelah penunggang motosikal itu hilang kawalan motosikalnya di Jalan Tengah menuju ke Mid Valley.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa penunggang motosikal itu melalui jalan berlubang, menyebabkan mangsa jatuh," kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) Zulkefly Yahya seperti dipetik dalam laporan itu.

Zulkefly menambah bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Keadaan jalan yang buruk yang menyebabkan kemalangan maut atau kecederaan serius telah menjadi isu sekian lama bagi pengguna kenderaan Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini terlibat dalam kemalangan ketika berbasikal di Banting akibat jalan berlubang.

Permintaan maaf oleh Jabatan Kerja Raya Kuala Langat berhubung kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan kejadian seumpamanya sebelum ini yang bukan melibatkan menteri.