Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Asyraf: K'jaan perlu jawab dakwaan kroni akan dapat projek baru HSR

Pemuda Umno mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya memberikan penjelasan yang lebih kukuh berbanding alasan simplistik bersandarkan pandemik Covid-19 berhubung pembatalan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur- Singapura.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sayap parti itu juga menuntut kerajaan menjelaskan kebenaran berita yang tular di media bahawa projek itu bakal digantikan dengan projek jajaran baru HSR yang dibuat secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kroni swasta.

"Pemuda Umno mendesak agar kerajaan Malaysia tampil memberikan penjelasan yang lebih kukuh berbanding dengan alasan simplistik kerana pandemik Covid-19.

"Pemuda Umno juga menuntut kerajaan menjelaskan kebenaran berita yang tular di media massa bahawa projek ini bakal digantikan dengan melantik secara rundingan terus (direct nego) kepada sebuah syarikat kroni swasta di atas jajaran HSR yang tamat di Johor Bahru sahaja tetapi dengan kos yang hampir sama," kata Asyraf pada satu kenyataan.

Kelmarin, kerajaan Singapura mengesahkan perjanjian dua hala projek HSR dengan Malaysia telah ditamatkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia ingin membuat perubahan pada landasan kereta api dan ini telah dibincangkan antara kerajaan kedua-dua negara yang akhirnya membawa keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin bertemu melalui sidang video pada 2 Disember 2020, untuk mengkaji semula status projek HSR, termasuk perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia dalam projek itu.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed menjelaskan kesan penularan Covid-19 yang menjejaskan ekonomi menyebabkan perjanjian dua hala projek HSR terpaksa ditamatkan.

Jelas, Mustapa terma-terma perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 2016 tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan teruk kepada ekonomi, sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Dalam pada itu, Asyraf berkata tindakan kerajaan itu adalah zatu kegagalan besar di awal tahun 2021 kerana ia ternyata menongkah arus tren pembangunan ekonomi semasa.

"Malaysia dianggarkan akan kehilangan sebanyak RM209 bilion dalam pendapatan kasar negara (PNK) dan potensi 70,000 peluang pekerjaan jika HSR dibatalkan.

"Pusat Penyelidikan Institute of Developing Economies, Japan External Trade Organisation (IDE-JETRO) turut menyatakan bahawa HSR akan memberikan impak nilai AS$1 billion (RM4 bilion) terhadap ekonomi kepada Malaysia setiap tahun.

"Pembatalan HSR ini akan menjejaskan visi besar untuk mentransformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang bakal dinikmati rakyat," katanya.